
Beliau berkata demikan mengulas laporan FMT yang kelab elit itu baru-baru ini terpaksa menolak tempahan sebuah acara yang memaparkan sarjana dari Amerika Syarikat (AS) Dr Nader Hashemi.
“Jika RSGC tidak tegas, maka wanita tidak boleh berenang, bermain tenis atau bermain golf. Ahli kelab beragama Islam tidak boleh berkongsi kemudahan bilik menukar pakaian atau makan daripada pinggan yang digunakan orang lain. Malah, arak tidak boleh dijual,” kata Tawfik kepada FMT.
Semalam, RSGC dilaporkan menerima tekanan untuk menyaring semua acara yang ada kaitan dengan Islam.
“Jadi kelab mengambil keputusan menolak semua acara agama buat masa ini,” kata Pengurus Operasi dan Perkhidmatan RSGC, Eric Ilyas Lim.
Bagi Tawfik, ia petanda kerajaan semakin mengenakan pemahaman Islam mereka terhadap orang lain, sambil menambah ia memberi kepercayaan kepada ketakutannya bahawa negara ini menuju ke arah menjadi teokrasi.
“Islam digunakan untuk melabel dan membenarkan apa yang dikehendaki oleh ‘penguasa kecil’,” katanya.
RSGC merupakan antara kelab elit tertua terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur, dan sebelum ini menjadi lokasi beberapa acara dianjurkan Islam Renaissance Front (IRF) dan G25, kumpulan bekas kakitangan kanan kerajaan, termasuk antara mereka menjadi ahli kelab.
Ogos lalu, sarjana Indonesia yang berpengkalan di AS, Mun’im Sirry dituduh mempersoalkan asal usul Al-Quran, sehingga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melabelnya sebagai “sesat” susulan ucapannya di forum “Kesederhanaan Dalam al-Qur’an: Antara Dua Titik Ekstrim”, yang diadakan di RSGC.
Sebulan kemudian, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan penulis Turki Mustafa Akyol, ekoran ucapannya berkenaan isu murtad pada forum dianjurkan oleh IRF dan G25 di RSGC.
Jawi berkata Akyol telah melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) di mana penceramah agama perlu mendapatkan “tauliah”, peraturan yang biasanya dikenakan terhadap penceramah di masjid dan surau.