
Nuan Nuan dibawa keluar dari Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara kira-kira 10.50 pagi menggunakan sangkar khas, menurut jurucakap Zoo Negara.
Sangkar yang mengandungi anak beruang seberat kira-kira 90kg itu kemudiannya dimasukkan ke dalam lori khas milik Jabatan Perhilitan sebelum dihantar ke Hotel Haiwan MASkargo, Sepang.
Jurucakap itu berkata ia dijangka bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Malaysia ke Lapangan Terbang Shuanglin, Chengdu pada 5.35 petang.
Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015 di GPCC merupakan anak kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, yang dipinjamkan kepada Malaysia untuk 10 tahun oleh Kerajaan China.
Kedua-dua spesies panda gergasi yang sebelum ini dikenali sebagai Fu Wa dan Feng Yi ketika berada di China itu, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik 40 tahun kedua-dua negara.
Kelahiran Nuan Nuan memberikan kejutan besar buat Malaysia kerana mampu membuatkan pasangan panda gergasi itu melahirkan anak dalam tempoh 15 bulan sahaja.
Penghantaran pulang anak beruang itu sebagai memenuhi Perjanjian Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi, yang ditandatangani bersama China pada 15 Jun 2012, memperuntukkan anak yang dilahirkan pasangan panda gergasi berkenaan dihantar ke negara asalnya apabila berusia dua tahun.