Kelab elit tolak forum akademik selepas tekanan

Kelab elit tolak forum akademik selepas tekanan

Kelab Golf Diraja Selangor berkata ia untuk mengelak sebarang masalah membabitkan pihak berkuasa agama.

Dr-Nader-Hashemi
KUALA LUMPUR:
Salah satu kelab eksklusif di ibu negara menerima tekanan pihak berkuasa agama sehingga terpaksa mengambil keputusan menolak tempahan mengadakan sebuah acara yang bakal memaparkan seorang ahli akademik terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) bulan depan, FMT difahamkan.

Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di Kuala Lumpur mengesahkan yang mereka terpaksa mengambil keputusan menolak sebuah forum mengenai Islam yang mengundang sarjana Dr Nader Hashemi, kerana tidak mahu terlibat dalam sebarang masalah dengan pihak berkuasa agama.

“Maklumat terkini yang kami peroleh adalah kelab itu terpaksa menapis kesemua acara berkaitan agama.

“Jadi kelab mengambil keputusan menolak semua acara agama buat masa ini,” kata pengurus operasi dan perkhidmatan RSGC, Eric Ilyas Lim, ketika dihubungi FMT.

RSGC merupakan antara kelab elit tertua terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur, dan sebelum ini menjadi lokasi beberapa acara dianjurkan Islam Renaissance Front (IRF) dan G25, kumpulan bekas kakitangan kanan kerajaan, termasuk antara mereka menjadi ahli kelab.

Ogos lalu, sarjana Indonesia yang berpengkalan di AS, Mun’im Sirry dituduh mempersoalkan asal usul Al-Quran, sehingga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melabelnya sebagai “sesat” susulan ucapannya di forum “Kesederhanaan Dalam al-Qur’an: Antara Dua Titik Ekstrim”, yang diadakan di RSGC.

Sebulan kemudian, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan penulis Turki Mustafa Akyol, ekoran ucapannya berkenaan isu murtad pada forum dianjurkan oleh IRF dan G25 di RSGC.

Jawi berkata Akyol telah melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) di mana penceramah agama perlu mendapatkan “tauliah”, peraturan yang biasanya dikenakan terhadap penceramah di masjid dan surau.

Akyol hairan dengan peraturan itu. “Saya tidak rasa saya sedang mengajar agama kerana saya tidak bercakap sebagai seorang imam atau mufti dan tidak bercakap kepada komuniti agama pun. Saya bercakap pada persidangan akademik dan merujuk kepada pandangan berbeza mengenai kemurtadan sebagai seorang yang telah mengkaji bahan topik ini,” katanya kepada FMT selepas ditahan selama 18 jam pada 25 September.

Jawi dikecam

Bulan lepas, Putrajaya mengesahkan “tauliah” adalah syarat yang dikenakan ke atas semua penceramah.

“Setiap penceramah yang ingin mengadakan program berbentuk ceramah di Malaysia perlu mendapat kebenaran dan tauliah jabatan agama negeri, majlis agama negeri, atau jabatan mufti negeri berkenaan,” kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri bertanggungjawab hal ehwal agama, selepas ditanya sama ada semua ucapan menyentuh Islam termasuk yang diadakan di universiti perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Ketika dihubungi, Setiausaha Eksekutif G25, Jasmine Zulkifli berkata penganjur dalam proses mencari lokasi lain untuk mengadakan forum itu.

“Acara itu akan diteruskan, cuma kita perlu mencari lokasi lain untuk adakannya,” katanya.

Pengarah IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa menyalahkan campur tangan pihak berkuasa dalam lapangan akademik atas keputusan RSGC itu.

“Bagi saya, ini menunjukkan pegawai penguatkuasa Jawi yang melulu menyerbu forum intelektual telah menyebabkan impak yang negatif ke atas pengurusan sebuah kelab golf yang berprestij,” kata Dr Farouk yang juga disoal pihak berkuasa bulan lepas kerana mengundang Akyol.

“Pengurusan kelab telah gagal membezakan forum dan seminar yang diadakan bukanlah acara agama tetapi perbincangan intelektual. Perbezaannya dikaburkan oleh tindakan mafia pegawai penguatkuasa Jawi,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.