Kalau tak puas hati, hantar aduan, DAP beritahu ahli

Kalau tak puas hati, hantar aduan, DAP beritahu ahli

Ia selepas timbul dakwaan ada ahli tidak menerima notis, selepas hanya separuh daripada lebih 2,500 perwakilan hadir.

Ng-Suee-Lim-dap
SHAH ALAM: Ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) melalui kongres khas semalam diminta membuat aduan secara bertulis, selepas timbul dakwaan ada perwakilan tidak menerima notis pemilihan.

“Ahli DAP dan perwakilan yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan CEC semalam boleh buat aduan secara bertulis dan nyatakan ketidakpuasan hati mengikut saluran yang betul,” kata Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim.

Hanya kira-kira 54% perwakilan hadir pada kongres khas pemilihan CEC semalam, iaitu seramai 1,356 orang.

Menurut firma audit bebas, Grant Thornton yang dilantik sebagai pengurus pilihan raya kali ini, sebanyak 2,514 notis pemilihan khas CEC dihantar.

Ng berkata DAP Selangor secara keseluruhan berpuas hati dengan perjalanan pemilihan semalam dan akur dengan keputusan yang dibuat perwakilan yang hadir.

“Dalam sejarah pemilihan parti politik, tidak pernah ia dilakukan pihak luar tetapi hanya DAP memandangkan DAP ini dicemburui banyak pihak menyebabkan kita terpaksa buat begitu setelah akur dengan arahan JPPM,” katanya.

Pemilihan semalam menyaksikan 90% jawatankuasa CEC DAP kekal menerajui tampuk kepimpinan parti itu, sementara 2 muka baru menyertai senarai 20 anggota yang dipilih, iaitu bekas exco Selangor Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Dua nama yang terkeluar ialah Adun Skudai Boo Cheng Hau, dan Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2014.

Di tempat teratas ialah veteran DAP, Lim Kit Siang yang menerima 1,199 undi.

Pada 17 Julai lalu, DAP menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.

Ia kerana JPPM belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012, dan juga pemilihan semula pada 29 September 2013.

JPPM mengarahkan DAP menggunakan semula senarai perwakilan DAP seramai 2,576 orang pada 2012 ketika sesi pemilihan kali ini.

Kit Siang paling popular, 90% jawatankuasa CEC DAP kekal muka lama

Keluarga Lim bertahan, terus terajui DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.