
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 35 tahun yang berasal dari Sana’a, Yaman itu menyerah diri kira-kira 6 petang tadi.
“Suspek akan direman esok dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selasa lepas, Zani berkata, polis sedang menjejaki seorang lelaki yang berpakaian ala pengebom bunuh diri ketika menghadiri sebuah majlis sambutan Halloween di sebuah kondominium di Damansara, pada 28 Oktober lepas.
Menurut Zani, seorang penduduk di kondominium berkenaan memaklumkan polis ternampak lelaki memakai pakaian sedemikian ketika menaiki lif.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.