Hentikan khabar angin tak masuk akal, kata Jason Lo

Hentikan khabar angin tak masuk akal, kata Jason Lo

CEO Tune Talk itu sekali lagi menepis laporan beliau dipenjarakan di Dubai kerana dakwaan berkaitan dadah.

jason-dubai-1
PETALING JAYA:
Sehari selepas berita penahanannya di Dubai, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo menyuarakan kekecewaan berhubung khabar angin mengaitkan kejadian itu dengan dadah.

“Hari ini berlalu dengan orang bercakap buruk mengenai saya,” katanya kepada FMT hari ini.

“Saya berada di rumah bersama anak saya dan saya dengar dan baca kenyataan psikotik serta dahsyat. Mereka sangat kejam dan saya ingin tahu kenapa.”

Semalam, penyanyi berusia 42 tahun itu mengakui beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 18 September lalu, tetapi menafikan ia disebabkan penemuan dadah dalam bagasinya.

“Saya bukan penjenayah.

“Jika saya buat sesuatu untuk mendapat layanan sebegini, sudah tentu saya dipenjarakan sekarang.”

Beliau berkata, tiada orang yang boleh melarikan diri dari Dubai, bandar terbesar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang terkenal dengan penguatkuasaan ketat ke atas jenayah, selepas didakwa melakukan jenayah serius seperti memiliki dadah.

“Itu ialah Dubai. Saya tidak rasa ada orang boleh melarikan diri (dari UAE) jika didakwa dengan perkara sedemikian. Tidak kira anda berkawan dengan siapa.

“Saya ada baca beberapa berita mengenai individu dipenjara 4 tahun kerana sedikit ganja. Menakutkan,” katanya yang merupakan kawan rapat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis Dubai menahan CEO itu sejurus penerbangannya dari Amsterdam, Belanda mendarat di bandar itu pada 18 September lalu.

Menurut laporan itu, individu berkenaan pulang ke Malaysia Selasa lalu, selepas menjalani hukuman di penjara Al Aweer, UAE.

Lo dipetik portal The Edge Markets semalam berkata, beliau dihantar ke lokap polis kerana membantu kawannya yang cuba meleraikan pergaduhan dengan seorang lelaki, yang kemudiannya beliau dapati adalah seorang pegawai polis tanpa seragam.

“Saya mendarat di Dubai. Di lapangan terbang, kawan saya cuba memberhentikan pergaduhan. Kemudian dia dipukul menyebabkan saya berdepan lelaki itu yang sebenarnya merupakan seorang anggota polis,” Jason dipetik portal The Edge Markets.

“Saya dihantar ke lokap dan lelaki ini pula berminggu-minggu menangguhkan kenyataannya. Ia amat teruk. Tidak seteruk semua khabar angin yang saya dipenjarakan atas pelbagai sebab lain,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan CEO syarikat telekomunikasi itu ditahan di Dubai September lalu bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan, bukannya kes dadah.

Beliau berkata, pergaduhan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai itu melibatkan rakannya, tetapi akhirnya CEO itu turut ditahan pihak berkuasa Dubai.

Polis: CEO telco ditahan di Dubai kerana kes gaduh, bukan dadah

Jason Lo: Sayalah yang ditangkap di Dubai, tetapi…

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.