Zahid pertahan Zamihan pakar pulih akidah pengganas

Zahid pertahan Zamihan pakar pulih akidah pengganas

Menteri dalam negeri menyifatkan Zamihan sebagai aset penting dalam memulihkan pengganas dan mengembalikan kepada akidah Islam sebenar.

ahmad-zahid-hamidi-zamihan-mat-zin-pengganas
KUALA LUMPUR: Timbalan perdana menteri berkata, penceramah kontroversi, Zamihan Mat Zin tidak patut dihukum kerana beliau ialah aset penting dan pakar dalam memulihkan tahanan yang menyokong kegiatan militan IS.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rekod menunjukkan presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu cukup berjaya dalam mengendalikan program deradikalisasi pengganas.

“Ustaz Zamihan merupakan salah seorang pakar pemulihan ini. Mengikut rekod yang saya perolehi, kejayaan beliau untuk melakukan pemulihan akidah terhadap orang Islam yang lakukan keganasan atau melakukan keganasan berat ini cukup berjaya.

“Ertinya beliau adalah aset untuk memulihkan akidah, apatah lagi kembalikan kumpulan itu untuk ikut jalan yang benar dari segi agama,” katanya selepas berucap pada majlis Hari Inovasi Huawei Asia Pasifik 2017, hari ini.

Pada 11 Oktober lalu, Zamihan direman 3 hari di bawah Akta Hasutan selepas beliau mengkritik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai isu kedai dobi “mesra Islam” di Muar dan mempersoalkan kebersihan bukan Islam menerusi rakaman ceramahnya di Shah Alam, awal bulan lalu.

Kurang sebulan selepas disiasat polis dan dikecam “tin kosong” oleh Sultan Johor, Zamihan didapati masih giat dalam program Putrajaya untuk memulihkan mereka yang dituduh terlibat menyokong militan IS.

Kelmarin, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu yang kini ditugaskan dalam program pemulihan banduan, menjalankan sesi pemulihan dan “deradikalisasi” yang menyentuh hukum jihad, di samping peranan polis dan tentera.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, selain bahasa Melayu, manual program deradikalisasi pengganas turut diterjemah kepada bahasa Inggeris, Perancis dan Arab.

“Saya tidak fikir beliau harus dihukum dengan jawatan yang diberikan Jabatan Penjara itu,” kata menteri dalam negeri itu.

Pada 16 Oktober lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik tauliah Zamihan untuk mengajar agama kerana isi kandungan ceramahnya disifatkan “rasis” dan “kurang beradab”.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, status Zamihan akan dipertimbangkan, tetapi mengakui proses memberhentikan beliau “bukan senang” kerana perlu melalui banyak prosedur.

Zamihan dipinjamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan program melibatkan banduan di Penjara Kajang.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di bawah KDN, dipindahkan serta-merta ke Jakim pada Februari 2016.

Zamihan masih aktif program Putrajaya pulihkan militan IS

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.