
Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau hanya menarik balik kenyataannya mendakwa hidungnya berdarah disebabkan penyokong ketua Wanita PKR itu, tetapi tidak memohon maaf di mahkamah.
Zuraida menyaman Jamal berhubung kekecohan di Pusat Beli-Belah Ampang Point pada 13 November 2016. Melalui proses mediasi hampir 4 jam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, kedua-dua pihak menyelesaikan kes itu selepas Jamal menarik balik kenyataan ditujukan kepada Zuraida.
Peguam, V Mugunthan yang mewakili Jamal berkata, ketika proses mediasi di depan Hakim S Nantha Balan, pasukan peguam pemimpin Umno itu memaklumkan Jamal tidak akan memohon maaf kepada Zuraida.
“Pendiriannya disampaikan kepada peguam Zuraida, Latheefa Koya serta N Surendran dan mereka bersetuju dengan kebenaran Zuraida.
“Tafsiran kenyataan itu jelas tidak termasuk frasa ‘meminta’ atau ‘memohon maaf’,” kata Mugunthan kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Jamal yang turut hadir hari ini “terkejut” dengan apa yang berlaku, walaupun selepas menghabiskan 4 jam pada Selasa lalu membuat kenyataan yang dibacakannya di mahkamah.
“Saya menarik balik apa yang saya kata sebelum ini. Malangnya selepas mencapai persetujuan, beliau kata perkara lain mengenai saya di luar mahkamah,” katanya yang menafikan beliau memohon maaf di depan hakim kelmarin.
Katanya, beliau menganggap Zuraida sebagai kakak, tetapi mendakwa wanita itu berubah selepas Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi “bos” beliau.
“Beliau kata saya ini tidak siuman, berjaya menjinakkan saya, seorang yang buas dan sebagainya. Jadi, ini adalah satu kenyataan yang saya anggap cukup menghina.
“Ini adalah keputusan mahkamah yang telah dipersetujui. Saya tidak hairan dan bimbang 10 saman pun kepada saya. Tetapi keputusan telahpun dicapai di dalam mahkamah.
“Jadi saya beranggapan beliau ini seorang wakil rakyat, ahli parlimen yang tidak boleh langsung dipercayai sama sekali dan seorang yang penipu, bukan penipu kecil tetapi penipu besar.”
Semalam, sehari selepas menyelesaikan saman fitnahnya ke atas Jamal, Zuraida menasihatkan lelaki itu bersikap lebih siuman dan tidak membuli pihak lain sesuka hati.
Beliau berkata, teguran sama dibuat sewaktu perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Alhamdulilah, selepas kes itu, sewaktu dia buat tuduhan liar itu, memang banyak peguam yang telefon saya nak ambil kes ini sebab mereka yakin boleh menang.
“Bagi saya, menang bukan menjadi isu, tetapi prinsipnya. Jadi saya nasihat dan buat teguran pada Jamal di mahkamah sebelum ini, agar jangan melakukan perkara tidak siuman dan bukan-bukan. Saya minta dia jadikan pengajaran, jangan senang-senang buli orang,” katanya semalam.
Pada 13 November 2016, Jamal dan penyokongnya mengekori Zuraida serta penyokongnya ke Pusat Beli-belah Ampang Point dalam sebuah program menjelang perhimpunan Bersih 5 oleh parti pembangkang.
Kekecohan tercetus apabila polis cuba menghalang Jamal dan penyokongnya mengekori Zuraida.
Hidung Jamal kemudiannya berdarah dan beliau mendakwa dipukul penyokong Zuraida, walaupun rakaman video itu jelas menunjukkan beliau cedera akibat bergelut dengan polis.
Dalam saman fitnah yang difailkan 17 November lalu, Zuraida menuntut ganti rugi am selain injunksi menghalang Jamal membuat komen menghina lagi.
Jangan buli, nasihat Zuraida selepas selesai kes saman Jamal