Sivarasa kecam ahli Parlimen salah guna kekebalan Parlimen

Sivarasa kecam ahli Parlimen salah guna kekebalan Parlimen

Beliau berkata, ahli Parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya membuat dakwaan hanya kerana mereka dilindungi keistimewaan Parlimen.

sivarasa_parlimen_baru_600
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menggesa penggubal undang-undang tidak menyalahgunakan keistimewaan Parlimen dengan membuat dakwaan yang tidak dapat disahkan mereka sendiri.

Katanya, kekebalan daripada pendakwaan tidak bermakna ahli Parlimen boleh melemparkan tuduhan tanpa bukti.

“Ini sebabnya kita mempunyai Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk mengawal mereka yang menyalahgunakan kelebihan ini,” katanya kepada FMT.

Sivarasa yang juga seorang peguam dan ahli PKR, merujuk 2 insiden di Dewan Rakyat baru-baru ini, di mana ahli Parlimen membuat kenyataan berbaur fitnah ketika perbahasan Bajet 2018.

Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (BN-Tambun) mendakwa anak saudaranya diliwat bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa projek loji rawatan air (LRA) Sungai Intan di Semporna yang bernilai RM48 juta diberi kepada ahli keluarga Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Sivarasa berkata, kenyataan Husni tidak berasas dan jelas adalah penyalahgunaan keistimewaan Parlimen.

“Itu sebabnya beliau dicabar mengulangi dakwaannya di luar Parlimen agar Anwar mempunyai remedi undang-undang.

“Apabila mereka enggan melakukannya, ia jelas mereka menyalahgunakan keistimewaan.”

Katanya, Shafie juga menyalahgunakan keistimewaan itu kerana tidak membuktikan dakwaannya.

Sivarasa mengakui keistimewaan Parlimen adalah mutlak.

“Hanya ada pengecualian hasutan. Tetapi, itupun bergantung kepada kes dan perlu mematuhi syarat. Selain itu, kamu tidak boleh disaman atas apa yang dikatakan di Parlimen,” katanya.

Katanya, mungkin sia-sia untuk merujuk Husni kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen memandangkan majoriti ahli Parlimen terdiri daripada ahli Barisan Nasional yang mungkin tidak menyokong tindakan itu.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menyertai DAP Februari lepas berkata, speaker wajib menentukan sama ada dakwaan itu dibenarkan.

“Speaker harus menentukan jika sesuatu dakwaan itu relevan dengan isu yang dibahaskan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dakwaan Husni terhadap Anwar tidak relevan dengan perkara yang dibahaskan.

“Jadi, itu adalah penyalahgunaan keistimewaan Parlimen. Tetapi, apa yang kita boleh buat? Speaker yang akan tentukan.”

Katanya, peraturan dewan perundangan itu ialah memastikan ahli Parlimen bebas bersuara.

“Tidak kira apa yang dikatakan dan betapa seriusnya perkara itu. Jika ianya benar, ia patut disuarakan. Itulah peraturannya.”

PKR cabar Husni tuduh Anwar liwat anak saudara di luar Dewan Rakyat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.