
Kamarudin Abdullah berkata walaupun kapten pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu mengeluarkan kata-kata mencarut selepas wisel penamat dibunyikan, namun jawatankuasa itu memiliki kuasa untuk menyiasat segala insiden sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
“Disebabkan ia berlaku selepas perlawanan, jadi jawatankuasa boleh menyiasat insiden itu dengan lebih lanjut.
“Secara peribadi, saya melihat tindakan itu satu kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain profesional,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu agar jawatankuasa tersebut menunggu laporan insiden berkenaan sebelum membuat penilaian dan mengambil tindakan.
Katanya, berdasarkan hukuman yang dikenakan ke atas kesalahan yang sama sebelum ini, kemungkinan besar Safiq akan dikenakan denda termasuk penggantungan perlawanan.
“Namun, semuanya terserah kepada keputusan jawatankuasa itu,” katanya lagi.
Safiq dilaporkan mengeluarkan kata-kata mencarut di depan jurukamera yang merakam detik kejayaan JDT yang merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam.
Menerusi rakaman video berdurasi 1 minit itu yang tular di media sosial, beliau menjerit: “To all haters pu**ek! Gua champion s*al! B*bi, anak ha**m!”.
Carutan itu dikatakan sebagai tindakan melepaskan geramnya kepada pengkritik pasukan JDT.