Isu Bugis boleh selesai cara baik, kata Azmin

Isu Bugis boleh selesai cara baik, kata Azmin

MB Selangor itu mengulas tuduhan Adun BN yang beliau 'membisu' berhubung ucapan Dr Mahathir yang didakwa menghina Bugis.

azmin-ali_mahathir_60012
SHAH ALAM:
Isu melibatkan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamed yang didakwa menghina keturunan Bugis boleh diselesaikan secara baik, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu berkata demikian mengulas tuduhan Adun Barisan Nasional (BN) yang menuduh beliau “membisu” berhubung isu tersebut.

“Saya dah jelaskan sebelum ini. Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan secara baik tanpa melalui media, khusunya Utusan Malaysia,” katanya merujuk akhbar pro-Umno.

“Perkara berbangkit antara Dr Mahathir dengan dakwaan kononnya beliau menghina masyarakat Bugis itu boleh diselesaikan secara baik dan bersopan tanpa campur tangan media,” tambahnya.

Dr Mahathir pada perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya pada 14 Oktober menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.

Ia mengundang respon Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berasal daripada keturunan Bugis, yang mahu bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan beliau tidak bermaksud menyerang orang Bugis keseluruhannya.

“Saya tidak pernah kata orang Bugis semuanya lanun. Yang saya kata ialah Najib mungkin berasal dari lanun Bugis,” katanya.

Semalam, DUN Selangor menolak usul tergempar daripada Adun BN yang mahu membahaskan isu berkaitan ucapan Dr Mahathir yang didakwa menghina orang berketurunan Bugis. Usul itu turut mahu diwujudkan kekangan ke atas Dr Mahathir di Selangor.

Datuk Shukur Idris (BN-Kuang) berkata Azmin sehingga hari ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu, mahupun mengumumkan tindakan kerajaan negeri terhadap Dr Mahathir.

“Ketua negeri kita dah murka tetapi memanda menteri kita tidak ada apa-apa jawapan pun, tak ada tindakan langsung nak mempertahankan ketua negeri kita,” katanya.

BN Selangor bercadang menyerahkan memorandum kepada Sultan esok bagi menyatakan sokongan.

Azmin berkata menyerahkan memorandum seumpama itu adalah hak demokrasi.

“Takkan saya nak halang. Itu demokrasi, siapa nak hantar, hantarlah,” katanya.

‘Lanun Bugis’: BN mahu serah memorandum minta campur tangan Sultan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.