
Datuk Shukur Idris (BN-Kuang) berkata Datuk Seri Azmin Ali sehingga hari ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu, mahupun mengumumkan tindakan kerajaan negeri terhadap Dr Mahathir.
“Ketua negeri kita dah murka tetapi memanda menteri kita tidak ada apa-apa jawapan pun, tak ada tindakan langsung nak mempertahankan ketua negeri kita,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Negeri Selangor.
Dr Mahathir di tunjuk perasaan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur di sini 14 Oktober lepas membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.
Kenyataan itu mengundang bantahan Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia, namun bekas perdana menteri menafikan beliau berniat menghina seluruh keturunan Bugis.
Dewan di-Raja Selangor berpandangan siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir kerana kenyataan yang menyentuh bangsa Bugis.
Sultan Sharafuddin dalam kenyataan berkata, setelah berbincang dengan para ahli Dewan di-Raja Selangor, memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan pengerusi Pakatan Harapan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.
“Maka itu saya berharap menteri besar mesti mengambil ketetapan sebagai ketua kerajaan negeri mesti ada pendirian apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh menteri besar oleh mantan perdana menteri yang begitu celupar ini, yang menyebut keturunan yang begitu mulia, keturunan bangsawan, keturunan raja yang dikatakan lanun ini,” tambah Shukur.
Terdahulu, Dewan Negeri Selangor menolak usul tergempar daripada Adun BN yang mahu membahaskan isu berkaitan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina orang berketurunan Bugis.
BN Selangor mendesak kerajaan negeri supaya melarang Dr Mahathir menggunakan mana-mana premis milik kerajaan Selangor selepas kenyataan itu mengundang kemurkaan Sultan Selangor.
Speaker Hannah Yeoh menolak usul itu bagi memberi keutamaan kepada perbahasan Belanjawan Selangor 2018 yang perlu dibahas dan diluluskan dalam tempoh 4 hari.