
“Sebelum ini, menteri besar tidak pernah terlepas sebut soal DEIG tetapi Bajet 2018 tidak menyebut langsung soal DEIG, malah menteri sendiri pernah sebut tidak pernah gentar bahawa siasatan berkaitan DEIG,” kata Adun Sungai Panjang, Budiman Zohdi, ketika sesi perbahasan pembentangan belanjawan Selangor 2018 di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membisu dan tidak memaklumkan perkembangan penubuhan DEIG.
“Bajet 2016 yang disebut pada tahun 2015, menteri besar sebut Perbadanan Menteri Besar (MBI) dalam proses rasionalisasi aset bertujuan mengurus aset milik MBI dan DEIG, akan beroperasi sepenuhnya setelah usaha memperkemaskan urus tadbir dibuat,” katanya.
Budiman turut mempersoalkan status penstrukturan aset MBI bagi membolehkan operasi DEIG memulakan operasi.
“Pada Bajet 2017 (tahun lalu), menteri besar sebut DEIG akan diperkukuh menjadi agenda sosial. Anak syarikat mesti mendatangkan keuntungan untuk tujuan CSR rakyat negeri Selangor,” katanya.
Budiman mendakwa beliau banyak menerima rugutan daripada pengusaha industri kecil mengenai DEIG.
Pada Mac 2016, BN Selangor mendakwa kerajaan negeri mungkir janji apabila gagal membawa usul penubuhan DEIG ke sidang DUN untuk dibahaskan.
Azmin, dalam ucapan penggulungan Bajet Selangor 2016 tahun lalu berkata kerangka struktur operasi DEIG telah siap untuk mendapatkan maklum balas penasihat undang-undang negeri sebelum dibahaskan di dewan.
Katanya, kerangka itu perlu diberi kepada Kamar Penasihat Undang-undang Negeri terlebih dahulu bagi memastikan perjalanan operasinya dipantau jawatankuasa yang dilantik kerajaan Selangor.