Lagi dakwaan pengundi dipindah ke kem tentera belum siap

Lagi dakwaan pengundi dipindah ke kem tentera belum siap

Jawatankusa Pemandu Bersih 2.0 berkata, masing-masing 1,234 dan 1,411 pengundi tentera dipindahkan ke Kem Bera di Pahang serta Kem Hutan Melintang, Perak yang belum siap dibina.

Bersih-Army-camp
KUALA LUMPUR:
Gabungan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 hari ini mendakwa lebih 2,600 pengundi tentera dipindahkan ke 2 pangkalan tentera yang masih dalam pembinaan di bawah kerusi Barisan Nasional bermajoriti tipis.

Jawatankusa Pemandu Bersih 2.0 berkata, masing-masing 1,234 dan 1,411 pengundi tentera dipindahkan ke Kem Bera di Pahang serta Kem Hutan Melintang, Perak yang belum siap dibina.

Ia selepas dakwaan DAP pada minggu lalu yang 1,079 anggota tentera dan pasangan mereka dipindahkan ke pangkalan tentera di Segamat yang hanya dijadualkan siap pada April 2018.

bersih-pc-kem-hutan-melintang-kem-bera-2-ms-1
bersih-pc-kem-hutan-melintang-ms-1
bersih-pc-kem-hutan-melintang-kem-bera-ms-1
“Analisa menunjukkan pemindahan ini berlaku kepada kerusi-kerusi Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dimenangi dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Khususnya, 3 kerusi Parlimen tersebut diwakili menteri.

“Perkara ini jelas menunjukkan pemindahan tersebut bermotif politik, dan bertujuan mempengaruhi keputusan pilihan raya secara haram melalui undi awal dan pos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dilaporkan memetik Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ke-3 2017 yang menunjukkan pendaftaran 1,079 anggota tentera dan pasangan mereka ke kerusi P140 Segamat dan N02 Jementah.

Daripada jumlah itu, seramai 1,051 pengundi didaftarkan di Kem Segamat dan 28 lagi di Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Segamat yang terletak di bawah kerusi Parlimen Segamat dimenangi  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dengan majoriti 1,217 undi.

Kem tentera di Bera itu terletak di bawah kerusi Parlimen Bera dimenangi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan majoriti 2,143 undi, manakala Kem Hutan Melintang berada di bawah kerusi Parlimen Bagan Datok yang dimenangi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan majoriti 2,108 undi.

Bersih 2.0 mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mewujudkan lokaliti baharu dan tidak melakukan semakan di lapangan untuk memastikan kewujudan kawasan terbabit.

“SPR gagal membuat semakan terhadap permohonan pemindahan ini seperti mana yang diperuntukkan dalam Peraturan 13 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Sebagai sebuah badan suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan, tingkah laku dan kegagalan SPR melaksanakan tugas dengan amanah amat memalukan.

“Sehingga hari ini, SPR belum memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan. SPR dilihat seolah-olah bersubahat dengan pihak lain dalam melaksanakan tindakan haram ini,” katanya.

Sehubungan itu, Bersih 2.0 menuntut semua pesuruhjaya SPR meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas dengan cekap, bertanggungjawab dan amanah.

“SPR dan Kementerian Pertahanan perlu tampil memberi penjelasan bagaimana perkara ini boleh berlaku, dan sama ada perkara sama berlaku di kem tentera lain.

“SPR perlu membatalkan pemindahan dan pendaftaran baru ini sebelum daftar pemilihan tambahan diwartakan.

“Polis dan peguam negara perlu menjalankan siasatan terhadap isu ini kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.”

Bersih 2.0 menyeru orang ramai menyertai kempen Pemantau PRU14 untuk memastikan PRU14 dijalankan secara adil dan bersih.

DAP: Mengapa pengundi didaftar di pangkalan tentera belum siap?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.