Kutipan GST meningkat tetapi bajet ubat semakin mengecil, kata Teo

Kutipan GST meningkat tetapi bajet ubat semakin mengecil, kata Teo

Ahli Parlimen DAP mempersoalkan peruntukan bajet untuk ubat-ubatan yang semakin kurang, berbeza dengan tahun sebelumnya iaitu di antara 2010 hingga 2014.

Teo-Nie-Ching-bekalan-ubatan-gst-hospital
KUALA LUMPUR: Putrajaya digesa menjelaskan pengurangan bajet untuk ubat-ubatan sedangkan kerajaan mendakwa pendapatan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) meningkat setiap tahun.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata sejak GST diperkenalkan pada 2015, bajet untuk membeli ubat-ubatan mula dikurangkan sehingga kini.

Menurutnya, ia berbeza dengan tahun sebelumnya iaitu antara tahun 2010 hingga 2014.

“Bukan lagi rahsia, bajet pembekalan ubatan ini dikurangkan. Namun, ia bukanlah perkara biasa kerana pada 2010 hingga 2014, bajet perubatan dinaikkan sekurang-kurangnya 10% setiap tahun.

“Bermula 2015, bajet untuk membeli ubat-ubatan dikurangkan, walaupun berlakunya peningkatan pesakit yang hadir ke hospital kerajaan disebabkan peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 2015, bajet pembelian ubat-ubatan dikurangkan 2.58% iaitu sebanyak 3.1 juta. Trend penurunan itu juga dapat dilihat dalam Bajet 2016 dengan penurunan sebanyak 9.28% dan turun kepada 3.78% pada 2017.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz sebelum ini berkata, jumlah hasil bersih kutipan cukai GST bagi tempoh 1 Januari 2017 hingga 30 September 2017 adalah RM29.81 bilion.

Pada 2016, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyatakan bahawa kutipan cukai GST adalah sebanyak RM41.2 bilion sepanjang 2016.

Teo turut memetik laporan FMT iaitu kekurangan dana memaksa beberapa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai buang sekaligus mendedahkan risiko yang lebih besar kepada pesakit.

“Kepekaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam laporan ini saya hormati namun KKM juga gagal menafikan tuduhan yang dibuat dalam laporan itu bahawa pesakit diminta untuk membeli ubatan sendiri dan sebagainya,” katanya.

FMT sebelum ini melaporkan bahawa hospital kerajaan berdepan masalah membekalkan ubat kepada pesakit, dan mereka diminta mendapatkan bekalan ubat dari luar.

Menurut laporan yang memetik sumber yang sangat rapat dengan sektor kesihatan awam, pesakit turut diminta melakukan beberapa ujian di luar, disebabkan kekurangan dana dan membawa balik laporan ujian itu untuk rujukan hospital.

“Kenapa KKM tidak respon mengenai tuduhan ini? Adakah ia betul atau merupakan hakikat yang tidak boleh dinafikan?” soal Teo.

Mesin rosak, guna semula alat, ubat tiruan di hospital awam

Ramai beralih ke hospital kerajaan kerana GST, kos sara hidup

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.