
Laman baharu MIND itu, dijayakan dengan kerjasama program Permata Kurnia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), kini dipautkan ke laman web Permata Kurnia yang menyediakan maklumat asas austime dan asas intervensi untuk ibu bapa, para guru, ahli terapi dan masyarakat.
Laman itu menyediakan iKurnia LIVE sebagai wadah pembelajaran akses terbuka dan laman YouTube yang boleh diakses 24 jam. Platform ini boleh diakses di laman sesawang MIND, Bakti dan Permata Kurnia yang ditambah baik atas saranan Rosmah.
Projek MIND diusahakan Bakti sejak 2004 khusus buat golongan istimewa. Permata Kurnia salah satu daripada 7 program Permata yang diasaskan Rosmah, yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal prasekolah khas kepada kanak-kanak yang mengalami autisme dan sokongan kepada ibu bapa.
“Maka, bolehlah saya katakan maklumat mengenai autisme sekarang adalah di hujung jari para ibu bapa, guru-guru serta ahli-ahli terapi,” kata Rosmah dalam ucapannya di pelancaran MIND di Bangunan Bakti Siti Hasmah hari ini.
“Adalah menjadi harapan saya, dengan penambahan maklumat yang didedikasi untuk kpumpulan kanak-kanak yang mengalami autisme, Bakti-MIND akan dapat memenuhi keperluan kanak-kanak istimewa ini yang semakin meningkat bilangan.”
Rosmah berkata kajian melaporkan fenomena peningkatan autisme di seluruh dunia.
“Sebagai contoh, prevalens autisme di Amerika Syarikat adalah 1 kes bagi setiap 68 kelahiran, manakala prevalens autisme di United Kingdom adalah 1 kes bagi setiap 66 kelahiran, WHO menganggarkan 1% prevalens autisme dalam sesebuah negara.
“Maka jika anggaran ini diaplikasikan kepada Malaysia yang mempunyai 31 juta orang penduduk, boleh dianggarkan bahawa terdapat 310,000 kanak-kanak yang mengalami autisme di negara kita,” katanya.