PPBM N9 didakwa kucar-kacir tanpa mesyuarat agung

PPBM N9 didakwa kucar-kacir tanpa mesyuarat agung

Wakil Rembau, Seremban, Teluk Kemang, Rasah dan Kuala Pilah mengemukakan aduan ke JPPM mendakwa akar umbi keliru kerana ramai mengaku pemimpin parti.

ppbm-bersatu
PUTRAJAYA:
Ahli PPBM Negeri Sembilan menuntut kepimpinan pusat parti itu mengadakan mesyuarat agung bagi menyelesaikan kepincangan kepimpinan negeri.

Bekas Setiausaha Pendaftaran PPBM Negeri Sembilan Abdul Rashid Mohamed berkata ahli di peringkat akar umbi keliru apabila terlalu banyak individu yang mendakwa mengetuai kepimpinan negeri.

“Ketika ini ramai sangat yang mengaku sebagai pemimpin, sekejap orang itu, sekejap orang ini…kami ahli akar umbi yang juga penggerak parti cukup keliru mana satu yang betul, kami pun tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di sini hari ini.

Abdul Rashid yang mewakili bahagian PBBM Rembau hadir ke JPPM bersama wakil bahagian PPBM Seremban, Teluk Kemang, Rasah dan Kuala Pilah mengemukakan aduan kepada JPPM.

Abdul Rashid mendesak Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir agar tidak mengelak daripada bertanggungjawab atas kepincangan yang berlaku terutamanya kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan yang sepatutnya diadakan awal September lepas.

“Kami desak perkara ini diselesaikan. Kenapa sukar dan mengelak daripada mengadakan mesyuarat agung tahunan sedangkan ia termaktub dalam akta pertubuhan,” katanya.

Abdul Rashid berkata pihaknya berharap JPPM dapat menyiasat isu tersebut dan mengarahkan PBBM mengadakan mesyuarat agung bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.