
Salman turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa anti-rasuah baharu yang dipengerusikan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman yang menurut laporan Al Arabiya TV sudah menahan 11 putera, 4 menteri dan 11 bekas menteri. Suspek bagaimanapun tidak dinamakan.
Mohammed yang berikrar memerangi rasuah di peringkat tertinggi, turut diberi lebih banyak kuasa untuk menyiasat, mengeluarkan waran tangkap dan sekatan perjalanan, serta membekukan aset.
Menurut pengumuman diraja dipetik media kerajaan, rombakan Kabinet menyaksikan Putera Miteb bin Abdullah digantikan Khaled bin Ayyaf sebagai menteri pengawal diraja, manakala Menteri Ekonomi, Adel Fakieh digantikan timbalannya, Mohammed al-Tuwaijri.
Putera Miteb, anak lelaki yang menjadi pilihan arwah Raja Abdullah, pernah dianggap sebagai pesaing utama untuk menaiki takhta sebelum kemunculan Putera Mohammed secara tiba-tiba 2 tahun lalu.
Beliau mewarisi kuasa ke atas pengawal diraja, pasukan keselamatan dalaman elit yang ditubuhkan daripada unit puak tradisional, daripada bapanya yang mengendalikannya selama 5 dekad.
Putera Miteb ialah anggota terakhir daripada keluarga Abdullah yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Saudi.
Langkah itu mengukuhkan kawalan Mohammed dalam institusi keselamatan negara, yang sekian lama diketuai cabang berkuasa berasingan keluarga pemerintah.
Mohammed ialah anak Salman yang berusia 32 tahun. Beliau dilantik sebagai menteri pertahanan dan putera mahkota dalam rombakan pada Jun lalu yang mengetepikan abang sepupunya, Putera Mohammed bin Nayef daripada jawatan menteri dalam negeri.
Beliau bertanggungjawab dengan penglibatan Arab Saudi dalam konflik di Yaman, serta menetapkan dasar tenaga dengan implikasi global.