
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang pernah meneruskan pelajaran tingkatan 6 di Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) berkata, kebanyakan rakyat Malaysia menganggap TARC sebagai sebuah IPT seperti universiti awam lain yang dibiayai kerajaan.
“Apabila saya mendaftar untuk kursus itu, saya tidak pernah dimaklumkan sokongan kepada MCA ialah syarat untuk memasuki kolej berkenaan.
“Kenapa PM Najib dan MCA mahu ambil kredit untuk pendidikan kami di TARC dan membidas kami tidak bersyukur sekarang?” soalnya dalam respons terhadap kenyataan Najib hari ini.
Najib ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA pagi tadi berkata, sesetengah pemimpin pembangkang pernah belajar di IPT yang ditubuh dan dibiayai MCA.
Perdana menteri berkata, ahli politik itu menjadi “pandai” disebabkan jasa MCA dan BN menyediakan pendidikan tinggi berkualiti kepada rakyat.
Selain Kok, Najib turut menamakan ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong dan exco Pulau Pinang yang juga Adun Padang Lalang, Chong Eng. Semua pemimpin DAP itu pernah menuntut di IPT dibiayai MCA.
Beliau berkata, parti pemerintah perlu mengingatkan pemimpin politik itu mengenai perkara berkenaan kerana pembangkang sentiasa menyerang kerajaan.
Mengulas lanjut, Kok berkata, ramai wakil rakyat dan penyokong pembangkang yang pernah belajar di sekolah rendah, menengah dan universiti tempatan, jadi adakah ini bermakna mereka perlu menyokong BN “kerana kerajaan membina can membiayai sekolah dan universiti itu”.
“Wang yang kerajaan BN dan MCA ada datang daripada rakyat. Mereka menggunakan wang rakyat untuk membina TARC, sekolah dan universiti.
“Menjadi kewajipan kerajaan untuk menyediakan pendidikan. MCA sebahagian daripada kerajaan gabungan BN dan kedua-duanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan kerajaan untuk rakyat. Tiada apa yang perlu mereka banggakan.”
Kok yang merupakan lepasan Universiti Sains Malaysia berkata, ramai lepasan TARC mempersoalkan MCA kenapa kerajaan tidak mengiktiraf diploma kolej itu selama ini.
Bagi Chong pula, beliau sedar hakikat meneruskan pelajaran ke tingkatan 6 di TARC, sebelum menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, selain sokongan abangnya, beliau sendiri turut memberi tuisyen untuk membiayai pendidikannya di kolej.
“Ia bukannya jenayah untuk mengkritik kerajaan hari ini. Malah, ia adalah tanggungjawab dan tugas pembangkang untuk melakukan semak dan imbang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Chong berkata, menyediakan pendidikan ialah tanggungjawab kerajaan dan beliau tentunya tidak akan meminta rakyat bersyukur untuk pendidikan yang mereka perolehi.
“Ia adalah khidmat untuk rakyat.”