
Kini selepas 4 tahun, dua beradik itu berkata mereka menimba banyak pengalaman melalui aktiviti Bye Bye Plastic Bags (BBPB), sebuah NGO yang mereka tubuhkan untuk misi mereka.
“Banyak yang kami belajar walaupun bermula tanpa rancangan perniagaan, tiada agenda tersembunyi dan perancangan strategi,” kata Melati pada Sidang Kemuncak Kemapanan 2017 di sini.
“Kami belajar mewujudkan kampung perintis dan perusahaan sosial dan bercakap dengan lebih 16,000 pelajar. Ia bertukar menjadi gerakan akar umbi untuk memulakan perubahan sosial dalam masyarakat.
“Pada masa yang sama, kami menyedari betapa pentingnya bekerja dengan orang atasan, dan kami menjalin kerjasama dengan kerajaan Indonesia ke arah menjadikan Bali bebas plastik.
“Kami masih belajar.”
Isabel mengakui mereka naif dan menyangka misi itu akan menjadi mudah apabila mereka memulakan gerakan itu.
“Empat tahun kemudian, kami masih sedang belajar bagaimana sistem berfungsi,” katanya. “Terdapat banyak sistem dan lapisan berlainan.
“Ini menjadi cabaran yang menarik. Pada usia muda, kami sudah terdedah kepada sistem kerajaan dan badan-badannya.”
Dua beradik itu berkata urusan mereka menjadi mudah kerana mereka tidak berkeinginan untuk meraih populari dan kemewahan.
“Kami tidak melakukannya untuk wang atau ego,” kata Melati. “Kami lakukannya untuk Bali. Oleh itu, kami mudah diterima dan menerima banyak peluang.
“Tetapi sebaliknya pula, ada orang sukar memandang serius usaha ini. Mereka datang dan kata ‘Oh, kamu semua sangat comel, sangat bijak’.
“Tapi apa yang kami lakukan adalah perkara besar dan realistik. Kami mahu orang ramaii faham kami tidak akan berganjak sehingga usaha ini berjaya.”
Adik-beradik Wijsen menerbitkan risalah 25 halaman mengenai pengurusan sisa dan belia bertindak.
BBPB menyediakan pendidikan melalui mesyuarat, acara awam, artikel media sosial dan kempen “Satu Pulau Satu Suara”, yang mengalakkan dan meraikan perniagaan bebas plastik.
Pada 2014, BBPB menandatangani memorandum persefahaman dengan gabenor untuk menjadikan pulau Bali bebas plastik menjelang 2018.
Mereka turut berucap di acara TED Talk di London dan membuat pembentangan di PBB.
“Kami bercakap mengenai persoalan bahawa beg plastik tidak praktikal dan terlalu mahal,” kata Melati,
Beliau ambil maklum banyak negara mengenakan sama ada cukai atau levi ke atas beg plastik.
“Saya bersetuju plastik lebih membawa kesan buruk kepada masyarakat dan ekonomi. Satu kajian baru-baru ini menunjukkan industri pelancongan kerugian AS$53 bilion setahun kerana beg plastik.
“Sekitar 60% hingga 90% plastik hanyut di laut. Terdapat kerosakan pada perikanan dan kesihatan awam. Ini adalah bahasa yang digunakan untuk membantu kami berhubung dengan kerajaan.”