
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan memberikan ruang kepada Petronas dan Saudi Aramco menyelesaikan beberapa isu teknikal berkenaan perjanjian pelaburan terbabit.
“Sekarang ada syarat tertentu perlu dipenuhi oleh kedua-dua pihak (Petronas dan Saudi Aramco), dan proses itu berterusan. Alhamdulillah, saya jangkakan tidak lama lagi mereka (Aramco) salurkan dana dalam projek itu (RAPID),” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berada di Bangkok untuk menghadiri persidangan Mesyuarat Meja Bulat Tenaga Menteri-Menteri Asia Ke-7 (AMER) yang berakhir semalam.
Ketika berada di ibu negara Thailand, Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian Arab Saudi Khalid Abdulaziz Al-Falih yang turut menyertai persidangan sehari itu.
Menurutnya, beliau dan Al-Falih berbincang tentang perkembangan terkini pelaburan Saudi Aramco di RAPID dalam pertemuan itu.
“Saya berbincang dengan beliau tentang perkembangan terkini (pelaburan Saudi Aramco di RAPID) dan Alhamdulillah, saya dapati tiada masalah besar. Pelaburan itu akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Pada Februari lepas, Petronas dan Saudi Aramco menandatangani perjanjian pembelian saham bagi membolehkan syarikat minyak dan gas Arab Saudi itu membeli sebahagian ekuiti dalam projek RAPID.
Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua syarikat minyak dan gas milik negara memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
Perjanjian pembelian saham itu berlangsung ketika lawatan negara Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia.
Rahman menjangka sekiranya pelaburan Saudi Aramco di RAPID berjalan dengan baik dan memberikan keuntungan, tidak mustahil syarikat itu meningkatkan lagi pelaburan mereka di Malaysia pada masa akan datang.
Kedudukan Malaysia yang strategik di rantau Asia Tenggara, bukan sahaja menjadi tarikan kepada Saudi Aramco tetapi juga kepada syarikat minyak dan gas dunia yang lain, kata beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga ditanya kemungkinan hubungan baik dua hala Malaysia dan Arab Saudi bakal menyaksikan Petronas atau Khazanah Nasional muncul sebagai pelabur dalam cadangan penyenaraian awam Saudi Aramco.
Beliau tidak fikir kemungkinan itu berlaku.
“Saya tidak fikir (ada) rundingan khas untuk Petronas atau Khazanah Nasional untuk menjadi pelabur di dalam IPO Saudi Aramco,” katanya, bagaimanapun mana-mana syarikat boleh membeli saham syarikat itu apabila ia disenaraikan.
Cadangan penyenaraian sebanyak 5% saham syarikat minyak Arab Saudi tahun depan itu bakal menjadikannya IPO (tawaran awam permulaan) terbesar di dunia, dengan nilai sebanyak AS$100 bilion.
Ia juga bakal meletakkan nilai keseluruhan Saudi Aramco sebanyak US$2 trilion.
Beliau juga berkata, pada awalnya terdapat cadangan menjadikan Bursa Malaysia sebagai salah satu bursa saham terlibat dalam penyenaraian awam Saudi Aramco tetapi tidak dipertimbangkan atas beberapa sebab.
Antaranya kerana Saudi Aramco mahukan pasaran lebih besar seperti bursa saham di London dan New York.
Bagaimanapun Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan Bursa Malaysia boleh dipertimbangkan sekiranya Saudi Aramco mahu menyenaraikan anak-anak syarikatnya pada masa akan datang.