
Adun Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar berkata jumlah 136 unit rumah yang ditawarkan kerajaan negeri untuk generasi peneroka langsung tidak memadai memandangkan hampir 500 peneroka generasi kedua memerlukan rumah.
“Tapi kalau setakat bina 136 rumah apa sangat, tanah luas, sedangkang hampir 500 generasi kedua yang memerlukan rumah di Selangor,” katanya
Terdahulu Azmin menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2018 mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan membangunkan 136 unit perumahan untuk generasi kedua Felda bagi membolehkan golongan itu memiliki rumah idaman pada harga mampu milik.
“Kerajaan Negeri tampil untuk membantu generasi kedua Felda memiliki rumah yg selesa dan affordable (berkemampuan) berhampiran dengan keluarga mereka.
“PKNS akan membangunkan 136 unit rumah berkembar setingkat berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan dengan harga RM 97,000 seunit,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosni menyifatkan pengumuman Azmin lebih kepada gula-gula kerajaan Selangor untuk menarik undi golongan peneroka pada pilihan raya umum tahun hadapan.
“Ini bajet gula-gula Azmin, kerana apa saya kata bajet gula-gula, sebab kita telah mohon selepas perdana menteri umum rumah generasi kedua pada tahun 2010 dan Felda juga mohon untuk bina tetapi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menolak pada tahun 2011 kerana mereka kata tidak boleh kerana tanah tidak dapat diluluskan.
“Jadi tiba-tiba hari ini boleh pula, ini betul-betul bajet gula-gula kerajaan Selangor kepada peneroka sebab mereka nak ambil kesempatan sempena pilihanraya. Bagi saya kalau nak bina, bina betul-betul,” katanya.
Terdahulu, Azmin membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM3.12 bilion pada tahun 2018 berbanding RM3.45 bilion pada tahun sebelumnya, atau penurunan sebanyak RM33 juta.
Ia juga merupakan defisit belanjawan keempat berturut-turut dibentangkan Azmin apabila kerajaan negeri dijangka mencatatkan defisit RM870 juta pada tahun depan.