Pembangunan juga faktor banjir kilat di Angkasapuri

Pembangunan juga faktor banjir kilat di Angkasapuri

Jalan dinaiki air itu bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) manakala pihak konsesinya ialah SPRINT.

Angkasapuri
KUALA LUMPUR: Siasatan dapati aktiviti pembangunan di kawasan berdekatan yang menyebabkan halangan kepada sistem saliran menjadi antara punca banjir kilat di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Angkasapuri, Isnin lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata faktor intensiti hujan yang sangat lebat selama 1 jam 20 minit dengan kadar hujan 86 milimiter (mm) berbanding kadar hujan lebat biasa antara 50 hingga 60mm turut dipercayai menjadi punca kejadian itu.

Menjawab soalan pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau menarik perhatian bahawa jalan dinaiki air itu di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) manakala pihak konsesi ialah SPRINT.

“Projek pembangunan berdekatan kawasan banjir adalah projek pembinaan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway dan projek pembangunan South City,” katanya menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mengenai perkara itu.

Beliau seterusnya berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pihak berkenaan menyelenggara sistem saliran termasuk menaik taraf longkang sekitar kawasan pembinaan berkaitan.

Mereka juga diminta menyelenggara kolam tahanan sedia ada bagi mengekalkan kapasiti paras air dan menambah bilangan perangkap keladak selain membersih sistem saliran sedia ada di sekitar kawasan pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.