Mangsa pukul ‘Datuk Seri’ buat laporan kepada SPRM, enggan ‘disogok’

Mangsa pukul ‘Datuk Seri’ buat laporan kepada SPRM, enggan ‘disogok’

Empat anggota Rela itu bergilir memberi keterangan mulai 12.45 tengah hari sehingga 3.30 petang Selasa, di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane.

Rela_sprm_600
PETALING JAYA:
Empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang didakwa disogok “orang tengah” selepas dipukul seorang lelaki bergelar “Datuk Seri” sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

China Press memetik Rela berkata, mangsa membuat laporan di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, semalam.

Menurut kenyataan Rela itu, 4 anggotanya bergilir memberi keterangan mulai 12.45 tengah hari sehingga 3.30 petang Selasa.

Empat anggota itu ialah Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, Leong Jiun Jie, 21, serta Ketua Rela Daerah Ampang, Ho Hoong Keong, 55.

Kelmarin, Ho Hoong Keong dipetik China Press sebagai berkata, sejak Ahad hingga Isnin lalu, beliau dihubungi 4 lelaki yang menawarkan masing-masing RM10,000 kepada beliau serta 3 anggota Rela dipukul itu untuk menarik balik laporan polis dibuat mereka.

Ho bersama 3 mangsa itu bagaimanapun berikrar tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa jahat atau menerima wang ditawarkan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Cheong, Lee dan Leong cedera di kepala, mata serta perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek bergelar “Datuk Seri” itu.

Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.

Suspek bergelar “Datuk Seri” itu menyerah diri pada petang Isnin lalu dan majistret membenarkan permohonan reman selama 4 hari ke atasnya, semalam.

‘Orang tengah’ tawar RM40,000 batal kes ‘Datuk Seri’ pukul Rela

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.