
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan perlu diambil untuk memberi pengajaran kepada masyarakat yang undang-undang negara terpakai kepada semua orang tanpa mengira pangkat dan darjat.
“Sesuatu yang mendukacitakan apabila saya dimaklumkan ketua pengarah Rela bahawa ‘Datuk Seri’ itu menawarkan bayaran RM10,000 ringgit untuk menarik semula laporan polis.
“Ia juga melibatkan kes lain iaitu sogokan untuk menutup kesalahannya, maka 3 anggota Rela itu perlu terus membuat laporan kepada SPRM dan PDRM,” katanya selepas merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, hari ini.
Semalam, Ketua Rela Daerah Ampang, Ho Hoong Keong berkata, sejak kelmarin hingga semalam, beliau dihubungi 4 lelaki yang menawarkan masing-masing RM10,000 kepada beliau serta 3 anggota Rela dipukul itu untuk menarik balik laporan polis dibuat mereka.
Ho bersama 3 mangsa itu bagaimanapun berikrar tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa jahat atau menerima wang ditawarkan mereka.
Lelaki bergelar “Datuk Seri” yang berusia 29 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 4 petang semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan).
Mengulas lanjut, Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri tidak teragak-agak menarik lesen senjata api yang dikatakan dimiliki “Datuk Seri” itu, jika dia didapati menyalahgunakannya.
“Kalau lesen penggunaan senjata yang diberikan disalahgunakan, pastinya saya akan arahkan ketua setiausaha Ketua KDN dan setiuasaha Bahagian Keselamatan KDN meneliti semula.”
Katanya, individu bergelar “Datuk Seri” itu perlu menjaga adab dan status sosialnya supaya orang lain menghormatinya.
Katanya, pangkat kebesaran yang diperolehinya bukan lesen untuk mengasari orang lain dan melanggar undang-undang.
“Namun, saya tidak mahu pertikai kewibawaan pihak yang memberi anugerah berkenaan. Tentunya ada asas dan latar belakang orang berkenaan untuk menerima anugerah yang tinggi.”
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata serta perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek bergelar “Datuk Seri” itu.
Kejadian itu dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas di sebuah tokong di Jalan Ampang, namun dia enggan berbuat demikian.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/31/laporan-polis-tahan-adik-paksa-datuk-seri-serah-diri/
‘Orang tengah’ tawar RM40,000 batal kes ‘Datuk Seri’ pukul Rela