Tak guna haram buku dengan adanya internet, kata Art Harun

Tak guna haram buku dengan adanya internet, kata Art Harun

Peguam itu mempertikaikan keberkesanan pengharaman buku di zaman teknologi digital.

Art-Harun
SUBANG JAYA: Cara kerajaan mengharamkan buku bukan undang-undang yang baik dan tidak akan berkesan, kata peguam Azhar Harun.

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art mempertikaikan keberkesanan pengharaman buku, dan berkata walaupun pihak berkuasa boleh mengharamkan buku hari ini, pembaca boleh mendapatkan buku itu di internet keesokannya.

Menjelaskan perkara itu dari sudut undang-undang, Azhar berkata mana-mana undang-undang yang tidak boleh dikuatkuasakan atau mustahil dikuatkuasakan, bukan undang-undang yang baik.

Merujuk cadangan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mahu meluluskan undang-undang memaksa pemandu meletakkan kedua-dua tangan pada stereng, Azhar berkata ia sukar dikuatkuasakan kerana mereka yang memandu kenderaan manual perlu menggunakan tangan untuk menukar gear.

“Dengan kemajuan teknologi seperti Netflix, perkongsiaan ‘peer to peer’, media sosial, sejauh mana berkesannya pengharaman buku?

“Ada laman web dikenali sebagai pdf.net. Ada jutaan buku percuma. Saya menggunakannya. Jadi kalau kamu mengharamkan buku hari ini, esok mereka akan ke internet untuk mendapatkan buku itu.

“Jadi, pengharaman buku tidak berkesan. Ia bukan undang-undang yang baik,” katanya di forum bertajuk “Buku: Sumber Kebijaksanaan atau Ancaman Kepada Keharmonian” di Summit USJ, malam tadi.

Harun menjawab soalan sama ada tindakan kerajaan mengharamkan buku adalah betul, dan dalam keadaan apa kerajaan boleh mengharamkan buku.

Selain Harun, panelis lain di forum itu ialah Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, sasterawan negara Datuk Seri A Samad Said dan penulis Al-Mustaqeem M Radhi.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh mempengerusikan forum itu.

Ditanya sama ada terdapat hujah yang membolehkan buku diharamkan, Harun berkata buku itu perlu melakukan kesalahan berat, atau kandungan bermasalah itu boleh dikeluarkan sebelum penulis didakwa.

Beliau memberi contoh buku penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin yang memberi pandangan “semua lelaki mesti berkahwin 4, penzina mesti direjam”.

“Bunyinya ekstrem dan fundamentalis, tetapi dia tidak menimbulkan kebencian. Dia tidak menghasut orang Islam mengangkat senjata dan membunuh orang bukan Islam. Itu pandangannya. Ia boleh dibenarkan. Itu soal pilihan.

“Tetapi, jika ada buku yang menghasut orang Islam berperang, membunuh orang bukan Islam, jadi ada kesalahan yang berat. Ada hasutan. Dia boleh didakwa. Dengan itu, buku itu boleh diharamkan,” katanya.

Harun seterusnya menekankan perkara itu, dengan berkata perlu ada keseimbangan antara tanggapan dan ancaman sebenar kepada ketenteraman awam, dan tiada orang boleh melambakkan semuanya sebagai ancaman.

Al-Mustaqeem berkata, walaupun dengan kemajuan teknologi, buku cetak masih memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Katanya, ada penerbit yang tidak lagi melaburkan penerbitan buku digital dan kembali ke buku cetak kerana orang ramai masih mahu membacanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.