
Sebaliknya, Dr Farouk memuji Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa kerana tampil membantah pengharaman buku itu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.
“Mujahid tetap dengan pendiriannya dalam perkara ini. Bagaimanapun, tiada bantahan daripada PAS, PPBM dan PKR.
“Saya menjangkakan PKR, yang diterajui oleh orang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesti ada intelektualisme dalam parti itu, tetapi malang sekali.
“Nampaknya hanya Amanah dan DAP,” katanya pada satu forum dipengerusikan Adun Subang Jaya dari DAP, Hannah Yeoh, malam tadi.
Selain Dr Farouk, speaker lain di forum bertajuk “Buku: Sumber Kebijaksanaan atau Ancaman kepada Keharmonian” ialah peguam Azhar Harun, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, dan penulis Al-Mustaqeem M Radhi.
Dr Farouk berkata beliau tidak mengharapkan respon daripada PPBM, kebisuan PKR “sama sekali tidak boleh diterima”.
Beliau kemudian memetik kata-kata terkenal berbunyi: “Akhirnya, kita tidak akan terkenang kata-kata musuh, tetapi kebisuan kawan-kawan”.
KDN dalam beberapa siri warta kerajaan mengumumkan beberapa judul diharamkan, kebanyakannya yang menyentuh topik Islam.
Ia termasuk buku terbitan IRF seperti “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, terjemahan karya penulis Turki, Mustafa Akyol. Versi asalnya “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” turut diharamkan.
KDN turut mengharamkan buku yang disunting Dr Farouk, Wacana Pemikiran Reformis. Menurutnya, kesemua buku itu diharamkan kerana kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan menggemparkan fikiran orang ramai.
Mujahid dalam kenyataan awal bulan ini menggesa pihak berkuasa tidak menghalang perbincangan akademik.
Beliau menegaskan tindakan menghalang hak dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebab munasabah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, kerana ia akan menjadi batu penghalang kepada perbincangan intelektual dan aktivisme.