

Mengambil kira perkara itu, sekumpulan sukarelawan siswa di Beijing, China melancarkan projek kelas komunikasi Bahasa Melayu bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meraikan bahasa kebangsaan kita.
Seramai 22 pelajar direkod menyertai kelas sesi pertama yang diusahakan sebagai inisiatif menyuntik semangat patriotisme berasaskan bahasa kebangsaan.
“Ia usaha komuniti Malaysia di Beijing yang komited untuk memastikan anak mereka mempunyai rasa cintakan tanah air walaupun tinggal di perantauan.
“Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Kedutaan Malaysia di Beijing dan penyandang Kursi Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Luar Beijing, Datuk Dr Awang Sariyan yang juga penasihat projek.
“Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya turut melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan anak mereka yang mengikuti program ini.
“Beliau mengharapkan program ini menjadi tunjang kepada perpaduan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya petik Berita Harian Online.
Untuk pengetahuan, buat masa ini kerajaan dengan dokongan dan iltizam universiti tempatan, berusaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat dunia dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di beberapa universiti terkemuka di dunia.
Antaranya, Kursi Pengajian Melayu wilayah Eropah di Universiti Leiden, Belanda, Kursi Tun Abdul Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Universiti Victoria Wellington, Universiti Beijing dan di Universiti Hankuk, Korea Selatan.
Selain itu, bahasa Melayu juga dipelajari secara meluas di Universiti Youngsan dan Universiti Busan di Korea Selatan, Universiti Deakin, Melbourne, Australia, malahan terdapat juga di Universiti Negara Moscow Lomonosow, Universiti Negara St. Petersburg di Rusia.
Secara keseluruhannya, lebih 140 buah institut pengajian tinggi di lebih 50 buah negara di seluruh dunia menawarkan kursus pengajian bahasa Melayu, antaranya melibatkan negara Amerika Syarikat, United Kingdom Jepun, China, Rusia, Belanda, Jerman, Mesir, Iran, Pakistan, dan lain-lain.