
Ketua Rela Daerah Ampang, Ho Hoong Keong dipetik China Press berkata, sejak semalam hingga hari ini, beliau dihubungi 4 lelaki yang menawarkan masing-masing RM10,000 kepada beliau serta 3 anggota Rela dipukul itu untuk menarik balik laporan polis dibuat mereka.
Ho bersama 3 mangsa itu pada sidang media hari ini berkata, mereka tidak tunduk kepada mana-mana kuasa jahat dan tidak akan menerima wang ditawarkan mereka.
Selepas sidang media itu selesai, Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin ditemani Ketua Biro Pengaduan Awam MCA yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Rela, Datuk Seri Michael Chong menyerahkan sijil kepujian kepada 3 anggota Rela itu.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata serta perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek bergelar “Datuk Seri” itu.
Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 29 tahun itu dan memintanya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta menghalang tugas penjawat awam.