
Ia selepas polis pada 20 September lalu mengesahkan mereka sudah menamatkan siasatan ke atas 1MDB.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, arahan itu dikeluarkan pada 24 Oktober lalu.
“Oleh sebab siasatan masih dijalankan, maka apa-apa pendedahan mengenai butiran siasatan boleh menjejaskan dan memprejudiskan usaha siasatan yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia dan perkara ini perlulah dihormati semua pihak,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Terdahulu, Gobind meminta perdana menteri menyatakan status siasatan dan kenapa wujud kelewetan dalam melengkapkan siasatan ke atas 1MDB, memandangkan ketua polis negara pada 12 April lalu berkata, kertas siasatan itu sudah siap dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
Pada 20 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, siasatan ke atas skandal 1MDB selesai selepas 3 bulan Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Beliau mengesahkan tiada perkembangan baharu untuk dimaklumkan kepada media atau orang awam, kecuali ada arahan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Kabinet.
Polis menubuhkan sebuah pasukan penyiasatan pada April 2016 untuk meneliti laporan PAC ke atas 1MDB, sehari selepas PAC membentangkan laporannya di Parlimen.
Jun lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menyiasat lebih lanjut mengenai isu 1MDB, berdasarkan kertas siasatan yang dikatakan Khalid sudah dihantar sebelum itu.
Jabatan Peguam Negara dan polis di bawah tekanan untuk melengkapkan siasatan selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 15 Jun lalu memfailkan saman sivil bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB.
DoJ menerusi saman sivil terbaru lebih 200 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah di California pada 15 Jun lalu, mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.
Oleh itu, mereka mahu merampas aset berjumlah AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) di AS dan tempat lain yang didakwa diperolehi menerusi dana diseleweng daripada 1MDB, antaranya lukisan mewah, kapal layar, barang kemas dan hak cipta 2 filem komedi. Ia berhasrat memulangkan wang itu kepada Malaysia kemudian.
Dokumen yang dikeluarkan DoJ itu merupakan rentetan daripada kertas siasatan diumumkan pada Julai 2016, di mana pihak berkuasa AS membuat permohonan menyita aset yang dikaitkan dengan dana 1MDB berjumlah lebih AS$1 bilion.