Tuntut ‘overtime’ RM1,300 untuk main ‘game’, fotokopi dokumen

Tuntut ‘overtime’ RM1,300 untuk main ‘game’, fotokopi dokumen

Yang dipertua Majlis Bandaraya Shah Alam, Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, tuntutan elaun lebih masa 200 kakitangannya belum diluluskan kerana pihaknya memerlukan penjelasan mereka.

mbsa-2
PETALING JAYA:
Yang dipertua Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menolak tuntutan elaun “overtime” atau lebih masa mencecah RM1,300 hanya untuk bermain game, internet dan membuat salinan dokumen pada Ahad.

China Press melaporkan mesyuarat bulanan MBSA pagi semalam membangkitkan isu sesetengah kakitangan belum mendapat tuntutan elaun lebih masa untuk September.

Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dipetik akhbar itu sebagai berkata, tuntutan elaun lebih masa 200 kakitangan belum diluluskan kerana pihaknya memerlukan penjelasan mereka.

“Belanjawan elaun lebih masa MBSA tahun ini ialah RM7 juta dan setakat ini RM4.3 juta sudah digunakan.”

Beliau berkata, hasil pemeriksaan rekod tuntutan elaun lebih masa 2 bulan lalu mendapati ada di kalangan kakitangannya membuat tuntutan tidak munasabah hanya untuk kerja remeh seperti fotokopi dokumen.

“Saya dapati ada seorang kakitangan membuat tuntutan elaun lebih masa untuk Ogos sebanyak RM1,300. September dia kurang sedikit, tetapi jumlah tuntutan masih melebihi RM800,” katanya sambil menambah tuntutan tidak munasabah tidak akan dilayan.

Zaharin berkata, kakitangan sama juga pernah membuat tuntutan elaun lebih masa selama 5 jam hanya untuk fotokopi dokumen.

Beliau juga mendapat tahu sesetengah kakitangan menggunakan alasan kerja lebih masa hanya untuk bermain “game” dan internet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.