Peguam: Zahid tak boleh nafi kenyataan berkait Jho Low di Dewan Rakyat

Peguam: Zahid tak boleh nafi kenyataan berkait Jho Low di Dewan Rakyat

Peguam Bastian Pius Vendargon berkata, sebarang kenyataan bercanggah yang dibuat menteri atau ahli Parlimen sama seperti menghina Dewan Rakyat.

zahid-interpol-jho-low-1
PETALING JAYA: Seorang peguam perlembagaan berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menafikan jawapannya di Dewan Rakyat berhubung permintaan Malaysia mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Datuk Bastian Pius Vendargon berkata, perkara paling penting ialah rakaman Hansard, penyata rasmi perbahasan dalam Dewan Rakyat.

“Beliau tidak boleh menafikan apa yang sudah dikatakan dalam Dewan Rakyat dengan hanya mengeluarkan satu kenyataan lain,” katanya merujuk penafian timbalan perdana menteri yang polis Malaysia meminta bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low berkaitan siasatan 1MDB.

Bastian berkata, sebarang kenyataan bercanggah yang dibuat anggota pentadbiran kerajaan atau ahli Parlimen sama seperti menghina Dewan Rakyat.

Isnin lalu, Zahid yang juga menteri dalam negeri mengeluarkan kenyataan yang laporan “media sosial” memanipulasi jawapannya di Dewan Rakyat.

Zahid sebelum itu menjawab soalan tambahan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali di Dewan Rakyat.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak dilaporkan berkata, pendirian Zahid di Parlimen adalah jelas.

“Beliau menjawab polis sudah menghubungi Interpol untuk mengesan Jho Low,” kata Azmin kepada wartawan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri satu perbicaraan, semalam.

Azmin berkata, Zahid turut memaklumkan beliau “belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol”.

“Jadi, jika anda tidak mendapat laporan akhir, macam mana anda kata kes itu sudah ditutup?” soalnya yang terkejut dengan penafian Zahid.

Timbalan presiden PKR itu berkata, beliau akan berbincang dengan rakan Pakatan Harapan sama ada mahu merujuk Zahid ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas penafian itu.

Bastian berkata, terpulang kepada Dewan Rakyat untuk mengawal selia ahlinya yang sudah mengangkat sumpah kerana dewan perundangan itu ialah cabang berasingan kerajaan.

Peguam kanan itu berkata, jika seorang menteri atau ahli Parlimen menafikan kenyataan terdahulu yang dibuatnya di luar Parlimen, ia hanya akan menjejaskan kredibilitinya.

“Dalam kes ini, menteri itu menjawab bagi pihak kerajaan di dalam Dewan Rakyat dan ahlinya perlu membincangkannya berdasarkan Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Bastian berkata, seorang saksi yang berbohong dalam mahkamah akan didakwa bersumpah bohong atau menghina mahkamah.

Beliau memberi contoh hukuman penjara sehingga 10 tahun yang dijatuhkan ke atas saksi utama pendakwaan, Bhandulananda Jayatilake kerana memberi bukti palsu dalam kes pembunuhan bekas ratu cantik Malaysia, Jean Perera Sinnappa, pada 1979.

Tertuduh, S Karthigesu yang merupakan pensyarah psikologi kemudiannya dibebaskan selepas Bhandulananda mengaku menipu di dalam mahkamah.

‘Malaysia minta Interpol kesan Jho Low, tapi belum dapat maklumat’

Zahid nafi laporan media mengenai jawapan di Dewan Rakyat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.