‘Kerajaan sedang rangka model, kurikulum sekolah tahfiz’

‘Kerajaan sedang rangka model, kurikulum sekolah tahfiz’

ketika ini, sekolah tahfiz persendirian yang beroperasi dalam negara tidak mempunyai kurikulum pembelajaran khusus, selain kaedah pengajian tahfiz juga berdasarkan aliran pengajian tahfiz guru masing-masing.

Asyraf-Wajdi-tahfiz
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka model dan kurikulum pendidikan yang sesuai dengan keperluan semasa untuk diselaraskan di semua sekolah tahfiz, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, ketika ini, sekolah tahfiz persendirian yang beroperasi dalam negara tidak mempunyai kurikulum pembelajaran khusus, selain kaedah pengajian tahfiz juga berdasarkan aliran pengajian tahfiz guru masing-masing.

“Kebanyakan sekolah tahfiz menggunakan sukatan hafazan masing-masing dengan penambahan pengajian agama menggunakan pelbagai kitab.

“Kerajaan menyedari kurikulum pendidikan perlu diselaraskan untuk menjamin kualiti lepasan pelajar sekolah tahfiz adalah terjamin.

“Oleh itu, kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedang merangka model dan kurikulum sekolah tahfiz supaya sesuai dengan keperluan masa kini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) adakah kerajaan mewajibkan semua sekolah tahfiz mengikut sukatan pelajaran ditetapkan.

Asyraf berkata, semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah tahfiz persendirian perlu berdaftar dan tertakluk kepada Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama atau peraturan di sesebuah negara berkenaan.

Oleh itu, katanya, aspek kurikulum sekolah tahfiz terletak di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri masing-masing dan semua guru yang mengajar pendidikan agama Islam, termasuk pendidikan tahfiz juga perlu mendapatkan tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.