
SPAD dalam kenyataan malam tadi berkata tindakan gantung permit dikenakan ke atas setiap kenderaan milik KJJ Maju Enterprise dan Icon Tours Sdn Bhd berkuatkuasa semalam bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan ke atas kedua-dua pengendali.
“Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan terhadap pengendali yang didapati cuai di dalam pengurusan operasi. Bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan, lesen pengendali syarikat bas boleh digantung atau dibatalkan,” kata kenyataan itu.
Siasatan dijalankan oleh Bahagian Pematuhan dan Audit Keselamatan SPAD berdasarkan piawaian Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), dan tindakan akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali SPAD, kesemua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung tahap amalan keselamatan tertinggi,” katanya.
Kementerian Pengangkutan sudah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) untuk menyiasat dan menentukan apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.
Menteri Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kejadian semalam merupakan kemalangan paling buruk membabitkan bas pekerja.
Kejadian berlaku pada 6.50 pagi di Km 147 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan tol Juru, Seberang Perai. Lebih 40 pekerja kilang tercedera. Bas kilang membawa pekerja ke kilang Plexus dilaporkan menghentam belakang sebuah bas yang membawa pekerja kilang Sony yang berhenti selama beberapa minit.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bas yang terhenti itu mengalami kegagalan mekanikal dan berhenti di laluan kecemasan di lebuhraya itu sebelum kemalangan berlaku.
“Bas kedua bergerak terlalu laju ketika perlanggaran hingga menolak bas pertama ke laluan paling kanan dan melanggar pembahagi jalan di tengah-tengah lebuhraya,” kata Nik Ros.
NST Online melaporkan 2 pemandu bas kilang, berusia 23 dan 37, ditahan reman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan.
Nik Ros dilaporkan berkata pemandu yang lebih muda itu memiliki 3 waran tangkap terhadapnya kerana memandu tanpa lesen, melanggar lampu isyarat dan tidak memakai tali pinggang keledar. Pemandu yang lebih tua tidak mempunyai kesalahan trafik sebelum ini.