
Usia bukan penghalang bagi warga emas berusia 99 tahun, Tao Porchon-Lynch dalam melentik dan membengkokkan badan dengan sempurna dan mudah.Buat masa ini, beliau direkod sebagai guru yoga tertua di dunia, menghabiskan sebahagian besar hidupnya mempelajari amalan ini di India sejak kecil.
Baru-baru ini beliau dijemput sebuah organisasi yang menggalakkan unsur kerohanian dalam kalangan wanita, Sacred Threads untuk mengajar yoga di Sekolah Tinggi Natick di Massachusetts, Amerika Syarikat.
Wanita kacukan India-Perancis ini akui usia tidak pernah perlahankan pergerakannya.

Dia ketika itu sedang mendemonstrasi aksi senaman mengangkat pinggang dengan kedua-dua tangan, menghayunkan bingkai bahagian bawah badannya bersama kedua-dua kakinya ke atas.
Porchon-Lynch mengajar kumpulan pengamal terdiri daripada kira-kira 100 orang wanita dan lelaki dengan latihan tersebut.
“Tahniah. Anda semua hebat, dan saya gembira melihat anda,” katanya.
Beberapa saat selepas itu, Porchon-Lynch mengarahkan pengikutnya membaringkan diri atas alas (mat) yoga.
Ada yang menutup mata mereka dengan kain, cuba mengabaikan bunyi-bunyian dari bilik sebelah yang digunakan oleh pasukan bola sepak universiti untuk sesi perbincangan.

Pembantu Porchon-Lynch pula menggunakan rakaman muzik yang menenangkan, selari dengan suasana sesi berehat.
“Serahkan seluruh diri anda kepada kesunyian,” rakaman itu bersuara disertai beberapa lagi kata-kata yang membawa para pengamal kepada mood rehat atau ringankan badan.
Selepas tamat sesi rehat yang juga sekenali ‘Shavasana”, pengamal turut dihiburkan dengan kisah kehidupan luar biasa Porchon-Lynch.
Porchon-Lynch masih mengingati detik pertemuannya dengan Mahatma Gandhi pada usia 9 tahun dan menyertai perarakannya ketika masih remaja.
Beliau yang dibesarkan di India oleh bapanya yang berbangsa Perancis kemudian mengembara ke Eropah.
Insiden mengelakkan diri dari tentera Nazi semasa Perang Dunia II, terselamat dari insiden pengeboman Jerman menentang London dan melibatkan dalam profesion hiburan televisyen dan filem, antara kisah kehidupan Porchon-Lynch yang dikongsi bersama.

Percaya atau tidak, beliau juga antara orang yang memperkenalkan televisyen di India dan membuat beberapa dokumentari di negara itu.
Menurut laman web miliknya, dokumentari “To Light A Candle”, menceritakan kisah dermawan Welthy Fisher dan usahanya meningkatkan kadar celik huruf di negara itu.
Pada sesi yoga di Natick, Porchon-Lynch mengajak semua orang duduk dalam bulatan untuk berkongsi petua “membuka dan melonggarkan aliran darah” dengan menggosok bebola kaki.
“Ia sangat luar biasa. Saya masih dapat merasakan sensasi tersebut,” kata salah seorang pengamalnya, Marie Kieran selepas sesi itu.
Kieran belajar yoga sejak 3 tahun lalu selepas didiagnosis dengan masalah neuropati periferal iaitu masalah saraf rosak yang boleh mengakibatkan kehilangan sensasi pada anggota badan.
Kieran menyertai sesi pada hari tersebut kerana mahu mendapatkan inspirasi daripada Porchon-Lynch di samping melihat ketangkasan wanita berusia itu.
“Dia cukup kuat untuk seseorang yang berusia 99 tahun,” kata Kieran.