
SCI akan menentukan penyebab cerun tapak binaan sementara itu runtuh dan antara lain akan memutuskan jika ianya kemalangan tapak pembinaan.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata SCI perlu membentangkan dapatan dan membuat laporan dalam masa 3 bulan.
“Saya akan kemukakan cadangan ini kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Utama Abdul Rahman Abbas untuk perkenannya dan kemudian mewartakannya. Tarikh mula akan dimaklumkan kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini.
Lima syarat rujukan (TOR) yang dicadangkan untuk SCI adalah seperti berikut:
-
Menentukan punca kegagalan cerun pembinaan sementara di tapak pembinaan projek.
-
Mengenalpasti pihak yang bertanggungawab ke atas kegagalan cerun pembinaan sementara.
-
Mengemukakan syor dan tindakan yang sesuai termasuk tindakan undang-undang kepada pihak yang bertanggungjawab.
-
Mengkaji proses dan prosedur kelulusan projek ini sama ada ia teratur dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta syor-syor untuk ditambahbaikkan.
-
Menyemak semula perkara-perkara berkaitan dengan projek ini termasuk sama ada projek bangunan dibina atas tanah landai atau lereng bukit, dan adakah tapak kuari adalah di antara sebab utama kegagalan cerun pembinaan sementara atau semata-mata kemalangan di tapak pembinaan.
SCI akan mengikuti format sama sebagaimana yang suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat runtuhan antena Menara Umno di Jalan Macalister dan runtuhan tanjakan Jambatan Pulau Pinang Ke-2 pada 2013 yang mengorbankan 3 nyawa.
SCI Tanjung Bungah yang dicadangkan itu memperakui bilangan mangsa sebagai 11 orang, terdiri daripada 4 warga tempatan, 4 warga Bangladesh, 3 warga Myanmar, 2 warga Indonesia dan seorang warga Pakistan.
Lim berkata SCI akan menjalankan siasatan penuh dan teliti untuk memastikan sebab sebenar tanah runtuh itu yang berlaku di tapak binaan itu dan tindakan akan diambil ke atas mereka yang bersalah.
SCI akan dipengerusikan oleh bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk Yeo Yang Poh, bersama pakar geoteknikal Datuk Ir Dr Gue See Sew dan jurutera forensik geoteknikal dari Universiti Teknologi Malaysia Prof Ramli Nazir.
Yeo adalah pengerusi Lembaga Rayuan Pulau Pinang, sementara Gue pula orang utama dalam memberi nasihat untuk pemulihan penggondolan haram Bukit Relau pada 2013.