
Berita Harian melaporkan kemasukan kenderaan yang dikenali sebagai pikap itu tertakluk kepada permit pengedaran antarabangsa (ICP) yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Difahamkan, sebanyak 44,181 pelbagai jenis kenderaan memasuki Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Durian Burung, tahun lalu. Sebanyak 8,464 daripadanya ialah pikap.
Kemasukan itu dipercayai untuk menghantar barang kepada restoran masakan Thailand di sekitar Kedah dan Perlis. Malah, mereka didakwa menjelajah ke Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
Selain bebas keluar masuk pintu sempadan, kenderaan itu juga dikesan melakukan beberapa kesalahan, termasuk membawa muatan berlebihan.
Menurut sumber dipetik akhbar itu, kenderaan itu dilengkapi ruang simpanan setinggi 2m untuk memaksimumkan keupayaan muatan.
Malah, mereka juga didakwa memandu laju di lebuh raya melebihi 120km/j, selain mengubah suai badan kenderaan atau meletakkan aksesori berlebihan.
Seorang pengguna jalan raya yang dikenali sebagai Kiew mendakwa operasi pikap itu sangat licik dan mampu mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa tempatan.
“Pikap yang masuk ini, ada yang guna surat ICP, tetapi ada juga yang tak guna. Mereka ada ‘kaki’ (pemberi maklumat). Kalau pihak berkuasa buat operasi di Bukit Kayu Hitam, mereka masuk ikut Perlis atau Durian Burung. Ada juga yang masuk ikut Pengkalan Hulu, Perak.
“Kalau dah masuk, mereka boleh guna banyak laluan untuk ke lokasi dituju sehingga Perak dan Pulau Pinang. Ada juga yang berani sampai ke Kuala Lumpur untuk menghantar barang, terutama ke kedai tomyam.”