MCA dakwa MPKB larang senamrobik kerana lelaki bercampur wanita

MCA dakwa MPKB larang senamrobik kerana lelaki bercampur wanita

Pengerusi MCA Bahagian Kota Bharu, Tan Ken Ten berkata, senamrobik ialah sejenis sukan yang tidak sepatutnya dianggap aktiviti hiburan dan tidak memerlukan permit.

senamrobik2
Senamrobik itu diteruskan dengan hanya disertai peserta wanita.
PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertindak menghentikan sebuah program senamrobik anjuran Wanita MCA Bahagian Kota Bharu, Jumaat lalu, dengan alasan peserta lelaki tidak boleh bercampur wanita dan penganjur tidak memohon permit.

Guang Ming Daily melaporkan program “Aerobathon” anjuran bersama Komuniti 1Malaysia Kelochor itu, diadakan di dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng di Kota Bharu turut merangkumi kempen derma darah dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Selepas berkomunikasi dengan penguat kuasa, senamrobik itu akhirnya diteruskan dengan peserta lelaki dilarang menyertainya.

Pengerusi MCA Bahagian Kota Bharu, Datuk Tan Ken Ten berkata, program itu diteruskan dengan hanya disertai peserta wanita memandangkan peserta lelaki tidak ramai.

senamrobik
Kanak-kanak turut menyertai program “Aerobathon” anjuran Wanita MCA Bahagian Kota Bharu bersama Komuniti 1Malaysia Kelochor, Jumaat lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, senamrobik ialah sejenis sukan yang tidak sepatutnya dianggap aktiviti hiburan dan tidak memerlukan permit.

Beliau menyifatkan MPKB “sedikit obsesi” dalam penguatkuasaan dan tindakan pihak berkuasa tempatan itu menyebabkan program berkenaan mengalami penangguhan selama 30 minit.

Katanya, lebih 300 orang menyertai senamrobik selama 2 jam itu dan penguat kuasa terus berada di tempat kejadian untuk memantau serta merakamkan program berkenaan.

Difahamkan, penguat kuasa MPKB tidak menerima sebarang aduan, sebaliknya mereka mendapat tahu program itu melalui promosi di Facebook.

senamrobik1
Pengajar lelaki dibenarkan menyertai senamrobik itu.

Ketua Wanita MCA Bahagian Kota Bharu, Saw Ooi Leng dipetik akhbar itu berkata, pihaknya ada menganjurkan program sedemikian tahun lalu, tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan oleh MPKB.

Sementara itu, ahli MPKB, Mortazi Ismail berkata, semua aktiviti perlu mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan, termasuk yang dianjurkan di dalam sekolah.

Katanya, MPKB tidak akan mengambil tindakan terhadap penganjur, jika mereka ada mengemukakan permohonan permit dan menyatakan jenis aktiviti yang bakal diadakan.

“Apatah lagi program ini mengandungi unsur muzik, penganjur sepatutnya memohon permit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.