
Selepas niatnya membantu wanita tunggal berusia yang kehilangan suami tersebar, lelaki bernama Roel Mustafa digelar dengan ‘Lelaki 1,000 Janda’.Seorang pengguna Facebook, Fissilmi Hamida menerusi statusnya berkongsi maklumat mengenai Roel yang suka mencari janda, bagaimanapun dia terus membetulkan ayatnya menyatakan maksud sebenar.
“Jangan buruk sangka. Benar dia menyukai wanita janda, benar dia suka mengejar mereka, namun dengan cara yang sangat mulia, berbeza dengan beberapa individu yang mengaku ingin menolong janda, namun dengan cara mengahwini mereka dengan menjandakan isteri pertama,” tulis Fissilmi.
Namun niat dan usaha yang dipamerkan oleh Roel yang baru berusia 39 tahun jauh berbeza apabila dia menerima gelaran itu selepas memutuskan untuk meneruskan usaha arwah ibunya yang sering berkongsi makanan dengan rakan-rakannya.
“Ibu saya ketika itu juga sudah lama tiada suami dan sudah pasti pada usia 60-an rakannya juga ramai yang tidak mempunyai suami atau sesiapa untuk menjaga mereka.

Bagaimanapun selepas beberapa tahun ibunya meninggal dunia, Roel dari Depok, Jawa Barat sedar janda-janda tua yang tinggal di sekitar rumahnya tidak lagi dibantu.
Dan dari situ jugalah terdetik niat untuk membantu para janda tua.
Ekoran itu, dia menyasar membantu 1,000 wanita warga emas dan menjadi sumber inspirasi kepada lelaki lain yang mampu membantu supaya turut mengikut jejaknya sekaligus mempopularkan slogan “menafkahi tak harus menikahi” di akaun Facebooknya sebagai salah satu kaedah menunjukkan keikhlasan membantu golongan tersebut.
“Daripada membazirkan wang berfoya-foya, lebih baik menggunakannya untuk membantu orang lain? Tidak banyak diperlukan, cukup untuk membeli bekalan asas seperti minyak masak serta beras untuk golongan ini yang sering dipinggirkan.
“Sebenarnya satu kepuasan apabila kita membuatkan orang lain tersenyum,” katanya.