7 polis berhibur dengan tauke judi ditukar buat kali ke-2

7 polis berhibur dengan tauke judi ditukar buat kali ke-2

Ketua polis Johor berkata, arahan itu berkuatkuasa serta-merta dengan seorang daripada anggota yang berpangkat koperal itu dilucutkan jawatan detektif.

khalil
PETALING JAYA: Ketua polis Johor memaklumkan Bukit Aman mengarahkan pertukaran baharu untuk seorang pegawai dan 6 anggota polis yang dirakam berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar, awal bulan ini.

Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dipetik Harian Metro berkata, arahan itu berkuatkuasa serta-merta dengan seorang daripada anggota yang berpangkat koperal itu dilucutkan jawatan detektif.

“Mereka ini sudah diarahkan tukar ke lokasi dan formasi lain di seluruh negara oleh Bukit Aman,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, siasatan tatatertib sudah dirumuskan dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat.

Sebuah klip video 9 saat dikongsi di Facebook, sebelum dimuat naik ke YouTube, tersebar sejak 8 Oktober lalu.

Rakaman itu menunjukkan sekumpulan 7 individu didakwa pegawai dan anggota polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Muar sedang berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan Bakri.

Mereka semua kemudiannya ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, mulai 9 Oktober lalu, sementara menunggu siasatan selesai.

 

Klip 9 saat ‘polis berhibur dengan tauke judi’ disiasat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.