
Ahli akademik berusia 43 tahun itu berkata, “Profesor” yang mengambil masa 4 tahun untuk dihasilkan ialah peralihan daripada karya dahulu mengenai agama dan budaya.
“Hak asasi manusia menjadi tema novel saya sejak novel pertama dan ke-2 ‘Cinta Hari-Hari Rusuhan’ dan ‘Perempuan Politikus Melayu’,” kata graduan jurusan syariah itu yang menghasilkan kira-kira 40 buku dan menulis secara mendalam mengenai kesusasteraan Melayu klasik, sufisme, sektarianisme dan isu Islam kontemporari.
“Karya ini penting kerana ia menunjukkan bagaimana saya beralih daripada ‘orang yang percaya kepada relativis budaya’ kepada seorang universalis,” katanya yang mengakui peralihan itu mungkin mengakibatkan beliau dilabel sebagai “liberal”.
Awal bulan ini, FMT menyiarkan satu daripada petikan dalam novel “Profesor” yang mengandungi kira-kira 73,000 perkataan dan akan dilancarkan di Festival Sastera George Town di Pulau Pinang, bulan depan.
Novel itu sudah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Brigitte Bresson.
“Profesor” berkisar mengenai watak bernama Suliza, wanita Melayu yang bergelut dengan seksualitinya sejak belajar di sebuah sekolah agama di Kelantan.
Selepas berakhirnya satu hubungan tragis, Suliza melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan pendedahan di sana mengubah beliau menjadi seorang aktivis hak asasi manusia yang disasarkan kumpulan konservatif.
Faisal yang dahulunya dilabelkan sebagai “Syiah” kerana mempertahankan hak pengikut Syiah di Malaysia, berkata karya terbaru itu berkaitan minoriti seksual.
“Saya berjanji menampilkan lebih banyak plot berbanding karya dahulu. Saya berdepan masalah sensitif, kumpulan minoriti. Kali ini, minoriti seksual,” kata Faisal, nama pena bagi Dr Faizal Musa yang merupakan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Awal bulan ini, kerajaan mengharamkan novel penerima Anugerah Seni Negara daripada kerajaan Malaysia pada 2006 itu yang berjudul “Aku _ maka aku ada”, koleksi pandangannya berkaitan Islam dan umatnya.
Buku lain yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri termasuk “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala” dan “Ingin Jadi Nasrallah” yang didakwa membawa pengaruh Syiah, aliran Islam yang diharamkan pihak berkuasa agama di Malaysia.