
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohmed Asri Yusof dipetik Sin Chew Daily berkata, daripada keseluruhan 500,000 kuota diperuntukkan PLKN 2.0, 50% untuk Melayu, Cina (30%) dan India (12%).
Beliau berkata, statistik tahun lalu menunjukkan penyertaan kaum Cina hanya 12% berbanding sasaran 30%.
“Sambutan dingin PLKN 2.0 hanya berlaku di Semenanjung kerana penyertaan kaum Cina di Sabah dan Sarawak menggalakkan dan mencapai sasaran 30%,” katanya ketika melawat ibu pejabat akhbar berbahasa Cina itu, semalam.
Asri berkata, objektif PLKN 2.0 kekal sama, iaitu memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional, menyemarakkan semangat kesukarelaan dan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
Katanya, pelaksanaan PLKN 2.0 yang memfokuskan pembangunan dan latihan kemahiran, menyasarkan anak muda yang tidak mahu atau gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, isu berkaitan agama timbul disebabkan perselisihan faham dan generasi muda melalui PLKN boleh memahami budaya serta agama rakyat berbilang kaum, selain memupuk perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk.