Plat kenderaan dalam penculikan Koh mungkin palsu

Plat kenderaan dalam penculikan Koh mungkin palsu

Rakaman CCTV menunjukkan sekurang-kurangnya 3 kenderaan utiliti rekreasi (SUV) terlibat dalam penculikan itu.

pastorr-koh
KUALA LUMPUR: Siasatan awam hari ini diberitahu yang nombor plat 3 kenderaan didakwa digunakan dalam penculikan Pastor Raymond Koh tidak dijumpai dalam rekod pendaftaran kenderaan.

Isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke hari ini memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu yang polis fikir nombor plat 3 kenderaan itu palsu.

Hari ini hari kedua siasatan. Liew tampil sebagai saksi ke-2.

Koh, 62, diculik daripada keretanya oleh sekumpulan 10 individu menaiki konvoi kenderaan di Jalan Persiaran Tropicana, Petaling Jaya 13 Februari lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sekurang-kurangnya 3 kenderaan utiliti rekreasi (SUV) terlibat dalam penculikan itu.

Terdapat spekulasi yang penculikan itu mungkin berkait rapat dengan dakwaan Koh cuba menyebar ajaran Kristian tetapi dakwaan itu dibantah keluarganya.

Siasatan Suhakam juga akan pertimbangkan sama ada kes kehilangan Koh; aktivis sosial dari Perlis Amri Che Mat; paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth adalah kes kehilangan paksa mengikut takrif Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Kehilangan Paksa.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November tahun lepas.

Isterinya, Norhayati Ariffin berkata saksi terlihat 5 kenderaan menghalang kereta Amri sebelum beliau diculik hanya 550m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.

Manakala Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November tahun lepas.

Kata Liew, polis memintanya berjumpa SAC Fadzil Ahmad dan pegawai lain di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada 6 Mac.

“Pada 3.45 petang saya bertemu SAC Fadzil di bilik mesyuarat dan memberitahu saya polis tiada petunjuk besar dalam kes itu,” katanya.

Beliau kemudian diberitahu yang polis mengumpul beberapa gambar daripada kamera CCTV yang dipasang pada papan iklan berdekatan tempat berlakunya penculikan itu.

“Saya ditunjukkan gambar 3 kenderaan: Honda Accord (ST5515D) milik Raymond, kenderaan pikap (nombor plat bermula dengan WC) dan Toyota Unser (nombor plat bermula dengan BKB).

“Nombor plat kereta itu sangat jelas dan apabila saya bertanyakan jika nombor plat itu sudah dijejaki, Fadzil berkata nombor plat tersebut tidak wujud dalam rekod pendaftaran, memaksudkan nombor plat kenderaan-kenderaan itu palsu,” katanya.

Tarikh di mana gambar itu diambil juga tidak diperoleh, tambahnya lagi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.