
Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pengurangan ketinggian pesawat secara pantas merupakan sebahagian prosedur operasi standard (SOP).
“Pesawat moden terbang di altitut sangat tinggi, melebihi 30,000 kaki, di mana tekanan di luar terlalu rendah untuk manusia. Jadi, sistem penekanan secara automatik akan memastikan tekanan dalam kabin selesa untuk penumpang.”
Azharuddin berkata, beliau tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam penerbangan QZ535, tetapi mengesyaki sistem penekanannya menghadapi masalah.
“Ini adalah normal. Kapten boleh menyelaras sistem secara manual atau separa manual. Beliau boleh menggunakan pelbagai prosedur untuk memastikan penumpang terbang dengan selesa.
“Satu daripada cara ialah menurunkan pesawat secepat mungkin bagi menormalkan tekanan supaya penumpang tidak perlu terus menggunakan topeng oksigen.
“Tindakan kapten adalah betul.”
Tindakan juruterbang itu dikritik pelbagai pihak kerana pengurangan ketinggian pesawat secara pantas yang dilaporkan mencetuskan panik di kalangan anak kapal serta penumpang.
Mengulas tindak balas spontan sesetengah anak kapal menjerit, Azharuddin berkata, itu merupakan sebahagian latihan mereka dan mereka melakukan perkara betul.
“Pengurangan ketinggian secara pantas yang menyebabkan penyahtekanan dan topeng oksigen jatuh untuk kegunaan penumpang, kru dilatih untuk menjerit bagi memberi arahan penting kepada penumpang.
“Ketika itu, keutamaan mereka bertukar daripada memuaskan kehendak penumpang kepada memastikan keselamatan mereka.”
Katanya, anak kapal perlu menggunakan kuasa mereka ke atas penumpang yang cemas.
“Mereka tidak boleh bertenang dan senyum ketika ini. Mereka perlu menjerit untuk menyampaikan arahan dan memastikan keselamatan penumpang.
“Sebab utama meletakkan kru kabin dalam sebuah pesawat ialah untuk memastikan keselamatan penumpang. Memberi mereka makanan ialah sampingan.
“Saya tidak boleh kata secara tepat apa yang berlaku dalam penerbangan itu, tetapi secara umumnya, ini adalah SOP biasa untuk kru. Mereka perlu bertindak pantas dalam pesawat besar dan memastikan arahan sampai kepada penumpang.”
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menepis laporan media Australia mengkritik tindak balas anak kapal syarikat penerbangan itu ketika berdepan detik cemas.
Beliau menafikan laporan yang mendakwa anak kapal panik atau tidak membantu penumpang, apabila penerbangan dari Perth, Australia ke Bali, Indonesia mengalami “masalah teknikal” yang memaksa juruterbang menurunkan pesawat dari ketinggian 32,000 kaki ke 10,000 kaki.
Ahad lalu, penerbangan QZ535 berlepas dari Perth pada 11.35 pagi dan 25 minit kemudian ia mengalami kecemasan, ketika masih terbang di ruang udara Australia Barat.