Pulau Pinang anggap Shahul Hamid bertentangan akidah, elak isu tauliah

Pulau Pinang anggap Shahul Hamid bertentangan akidah, elak isu tauliah

Malik Kassim diminta mengulas beberapa klip video ceramah kontroversi disampaikan seorang bekas peserta program realiti agama Astro Awani.

malik-kasim-shahul
PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini mengelak diri daripada mengesahkan sama ada seorang pengetua sekolah tahfiz mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah agama, selepas viral kuliah beliau di sebuah masjid yang menganggap haram untuk umat Islam mendapatkan khidmat gunting rambut daripada bukan Islam.

Exco mengenai Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim sebaliknya mempertahankan hak Shahul Hamid, pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib di Bayan Lepas, untuk menyatakan pandangan beliau, yang mengundang kecaman pengguna sosial selepas beberapa klip rakaman ceramah beliau dilaporkan FMT hari ini.

Shahul dalam ucapannya dimuat naik antara 2015 dan bulan lalu mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, di samping mengharamkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam.

“Sejak saya belajar di pondok dan masuk tingkatan 1, sampailah sekarang, saya tak pernah bagi kepala saya kepada orang-orang kafir untuk pegang. Walaupun tak ada dalil dia pegang itu haram… adalah lebih baik kita cari kedai Islam sekurang-kurangnya kita bantu ekonomi orang Islam,” katanya dalam ceramah yang dimuat naik 2 tahun lalu.

Dalam satu lagi klip yang dimuat naik bulan lalu, Shahul menganggap budaya mengucapkan “Selamat Hari Jadi” sebagai jahiliah, dan tidak setuju dengan amalan menjawab telefon dengan perkataan “Hello”.

Malik bagaimanapun mengelak daripada menjawab sama ada Shahul mempunyai tauliah untuk menyampaikan kuliah agama, seperti mana dikehendaki di negeri lain.

“Isu tauliah tidak timbul sebab kita di Pulau Pinang bukan seperti kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang memerlukan tauliah,” katanya kepada FMT.

“Selagi dia tidak mengajar benda yang menyesatkan dan menyalahi akidah dibenarkan,” katanya.

Bagi Malik, kenyataan Shahul itu bertentangan dengan akidah Islam, dan Shahul tidak perlu bercakap isu remeh seperti itu kerana rakyat Pulau Pinang berbilang kaum.

“Lainlah kalau dia kata babi, arak itu halal baru jadi isu. Saya tidak faham kenapa media nak perbesarkan isu remeh,” katanya.

Undang-undang dan peraturan negeri mewajibkan setiap penceramah mendapatkan tauliah untuk mengajar dan memberi kuliah tentang Islam bagi tujuan pemantauan, agar ajaran yang disampaikan selaras dengan dasar pihak berkuasa agama.

Shahul,, yang pernah menjadi naib juara program realiti “Pencetus Ummah” terbitan Astro, juga menganggap haram untuk wanita Islam mendapatkan khidmat basuh rambut daripada bukan Islam sekalipun tukang gunting rambut itu seorang wanita.

“Walaupun orang perempuan, dia tak boleh potong di kedai orang perempuan kafir. Bukan kedai lelaki, perempuan pun tak boleh pergi suap kepala dekat orang perempuan kafir, kerana kepala rambut badan dia adalah aurat.”

‘Dakwah berakhlak’

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Datuk Mohd Salleh Man dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Datuk Sazali Hussein enggan mengulas lanjut.

Mereka sebaliknya menyerahkan kepada Malik untuk mengesahkan sama ada Shahul mempunyai tauliah atau tidak.

Manakala, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor pula berkata Shahul tidak seharusnya membuat fatwa sendiri.

“Dalam teks al-Quran, tak ada larangan tak boleh pergi. Selagi tak ada nas, atau teks dalam al-Quran yang melarang kita melakukan sesuatu jangan buat kenyataan itu.

“Kita berdakwah ini kena berakhlak, dari segi tutur bahasa, dan juga tindakan kita.

“Bahasa yang kasar itu tidak sesuai kepada golongan pendakwah atau ulama,” katanya.

Dalam pada itu, sumber di Astro Oasis yang enggan dinamakan meminta mana-mana pihak jangan kaitkan kenyataan kontroversi Shahul dengan Astro.

“Dia hanyalah bekas peserta pencetus ummah. Jangan kaitkan dengan astro.

“Dia bercakap atas kapasiti penceramah bebas bukan atas kapasiti Astro. Dia tidak ada kontrak dengan kita kagi.

“Kita tidak ada kawalan untuk dia bagi ceramah di luar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.