
Bagaimanapun, Nader Hashemi, yang mengetuai Pusat Pengajian Timur Tengah di Sekolah Pengajian Antarabangsa di Universiti Denver, berkata, beliau pertama sekali perlu meyakinkan isterinya yang bimbang beliau akan berdepan nasib sama seperti Akyol.
“Saya rasa saya boleh yakinkannya yang menerima jemputan itu adalah perkara betul,” katanya kepada pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa dalam kiriman emel yang dilihat FMT.
“Etika Islam mengharuskan saya mempertahankan kebenaran dan keadilan. Saya harap lawatan saya sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada realisasi impian itu di Malaysia.”
Hashemi akan bercakap mengenai topik dalam perbincangan Islam kontemporari seperti demokrasi, sektarianisme dan nilai liberal, dalam jelajah 5 hari anjuran IRF bermula 14 Disember.
Lawatan itu diadakan 3 bulan selepas lawatan dianjur oleh IRF yang menampilkan Akyol berakhir dengan tangkapan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), yang menuduhnya melanggar undang-undang yang mewajibkan penceramah topik Islam diluluskan badan itu terlebih dahulu.
Apabila disoal tentang kemungkinan Hashemi ditahan di bawah tuduhan sama, Farouk berkata ceramah itu bersifat intelektual dan bukanlah “ceramah agama” yang mana surat tauliah daripada Jawi diperlukan bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).
Pihak berkuasa agama dan kerajaan masa kini tidak patut memonopoli perbincangan intelektual di negara ini,” kata Farouk, yang juga disoal Jawi baru-baru ini kerana menganjurkan ceramah Akyol.
“Bukan sahaja mereka gagal bezakan antara perbincangan intelektual dan khutbah agama, mereka juga seperti memaksa orang ramai mematuhi tafsiran sempit dan dogmatik yang tidak mempunyai pengisian intelektual langsung,” tambah Farouk yang juga seorang pensyarah perubatan kanan di Universiti Monash.
Akyol, seorang penulis untuk New York Times, ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 September semasa sedang bersiap menaiki pesawat ke Rome. Beliau kemudian mendedahkan penahanan 18 jam itu berakhir ekoran tekanan daripada bekas presiden Turki Abdullah Gul dan juga seorang kerabat diraja dari salah satu negeri Malaysia.
Lawatan Akyol ke Malaysia baru-baru ini adalah yang kunjungannya yang ke-5, dan mencetuskan bantahan dalam kalangan beberapa kumpulan konservatif Islam atas pandangannya mengenai kebebasan beragama.
Beberapa hari selepas lawatannya, kerajaan Malaysia mengharamkan buku Akyol “”Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty” dan versi terjemahan Melayu buku itu terbitan IRF, “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”.
Buku itu antara beberapa judul buku menyentuh tentang Islam yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, kerana boleh “menggemparkan fikiran orang ramai” dan memudaratkan “kepentingan awam”.
Hashemi kerap kali mempromosikan idea menghidupkan semula pemikiran politik Islam menerusi demokrasi dan liberalisme, satu topik yang biasanya dibantah oleh kumpulan dan birokrat Islam di Malaysia.
Hashemi juga penulis buku bertajuk “Islam, Secularism and Liberal Democracy” (Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal), di mana edisi Bahasa Melayu buku itu juga diterbitkan IRF tahun lepas.