
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengakhiri musim perayaan kali ini dengan pelancaran filem web ‘Arathi’s First Love’ bersempena dengan pesta cahaya, Deepavali.Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah Abdul Rahman berkata filem web itu menyokong semangat Deepavali.
“Arathi’s First Love adalah filem web perayaan terakhir diterbitkan oleh Petronas tahun ini, yang dikenali dengan filem pendeknya yang menyentuh hati.
“Kami berharap mesej untuk perpaduan sosial dan keharmonian terus mempengaruhi semua rakyat Malaysia dan mengingatkan kita akan nilai-nilai intrinsik yang menyatukan kita bersama sebagai sebuah negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Filem web Deepavali itu, satu daripada beberapa iklan kempen perayaan oleh Petronas kali ini terus menampilkan lima bakat muda iaitu Arathi, Anang, Joseph, Ah Keong dan Hakim yang mendapat pengajaran kehidupan melalui persahabatan dan kemaafan.
Ia menampilkan watak utama, Arathi yang sukakan murid yang baru pindah ke sekolahnya, Ivan.
Disebabkan minatnya terhadap Ivan, Arathi telah diusik dan diejek rakan-rakannya, yang secara tidak sengaja telah menyakiti perasaannya.
Bagaimanapun, kawan-kawannya mula menyedari kesilapan mereka lalu meminta maaf kepada Arathi dan dia memaafkan mereka.
‘Arathi’s First Love’ boleh ditonton di laman web www.petronasofficial.commulai 14 Oktober, manakala sedutan iklan televisyen selama 90 saat akan disiarkan sehingga 27 Oktober ini.
https://www.youtube.com/watch?v=bzUX-79kw8k