Khalid cabar Teng dedah salah laku ketika jadi MB

Khalid cabar Teng dedah salah laku ketika jadi MB

Bekas menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim berkata, tindakan Teng Chang Khim mengugutnya hanya menunjukkan karakternya yang lemah.

khalid-Teng-Chang-Khim
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mencabar Exco kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim mendedahkan salah lakunya ketika menerajui kerajaan negeri itu.

“Teruskan…jangan hanya lakukan ugutan dan ancaman, tidak guna. Tindakannya lakukan ugutan hanya menunjukkan karakternya yang lemah,” kata bekas menteri besar Selangor itu selepas menghadiri program kutipan dana pilihan raya PAS di sini, hari ini.

Teng sebelum ini memberi amaran akan mendedahkan kelemahan peribadi dan urus tadbir Khalid ketika mengetuai kerajaan Selangor, susulan dakwaan beliau berada dalam senarai 4 bekas menteri besar Selangor yang akan membantu kemenangan Barisan Nasional di negeri itu.

Khalid bagaimanapun menepis spekulasi itu dengan menegaskan beliau tidak akan menyertai BN mahupun PAS, sebaliknya akan membantu PAS berkempen pada pilihan raya umum akan datang.

Teng merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan serta speaker Dewan Undangan Negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid.

Khalid menyertai Umno sekitar 1990-an sebelum beralih ke PKR sekitar 2000. Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor susulan kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada PRU 2008.

Bagaimanapun, Khalid dipecat daripada PKR pada Ogos 2014 berikutan krisis dalaman parti itu.

Selepas disingkirkan dari pejabat menteri besar, Khalid dilihat sering mengikuti himpunan anjuran PAS, termasuk himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung di Terengganu pada akhir bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.