
Anis Syafiqah Md Yusof berkata, buku teks sekolah dipenuhi pencapaian sebuah parti politik sahaja dan mereka akan mengabaikan pandangan bertentangan naratif kerajaan.
Situasi sama berlaku di universiti awam di mana pelajar hanya mendengar perdebatan politik sebelah pihak sahaja.
Katanya, ramai yang menyedari hakikat politik hasil pembacaan atau hubungan dengan aktivis, tetapi mereka tidak berani mengaku kerana bimbang dengan kesannya.
“Mereka takut dibuang atau digantung universiti,” katanya kepada FMT.
Anis mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak baru-baru ini mengenai sikap pasif belia dalam politik berdasarkan tinjauan Merdeka Center.
Salleh berkata, pandangan belia terhadap politik perlu diperbetulkan untuk mengelakkan mereka bersikap acuh tak acuh.
Berdasarkan laporan tinjauan itu, salah satu sebab beliau bersikap acuh tak acuh kerana responden meragui keikhlasan ahli politik, berdasarkan pemerhatian mereka wujud konflik dalaman dalam parti politik.
Bagaimanapun, Anis berkata, itu hanya faktor kecil.
Beliau menegaskan sebab utama adalah kurang pendedahan, takut dan indoktrinasi.
Katanya, sukar untuk pelajar zaman sekarang mendapatkan pendedahan terhadap pendapat berbeza daripada naratif pemerintah, tidak seperti zaman 1970-an di mana mereka bebas menganjurkan ceramah dan debat.
Tahun ini, Universiti Malaya mengadakan ceramah tertutup mengenai 1MDB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy tetapi pelajar tidak dibenarkan merakam ceramah itu.
Katanya, ceramah dan acara seperti itu merupakan kaedah indoktrinasi yang ketara.
Beliau mendakwa indoktrinasi halus datang dalam bentuk pemberian faedah tertentu kepada pelajar yang jelas menyokong kerajaan.