Lelaki ditahan tipu mangsa RM1,000 untuk jadi sarjan

Lelaki ditahan tipu mangsa RM1,000 untuk jadi sarjan

Suspek mendakwa dirinya 'pegawai kanan' di Bukit Aman yang boleh membantu mangsa memohon menjadi sarjan dengan kos RM1,000.

handcuff-recruit-police-malaysia-fake
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menggunakan aktiviti merekrut anggota polis untuk menipu orang ramai.

China Press melaporkan suspek yang menyamar sebagai “pegawai kanan” menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat untuk mengambil anggota baharu dengan mengenakan bayaran RM1,000.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu dipetik akhbar itu berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada 25 September lalu kerana disyaki terbabit dalam banyak kes di Raub, Bayan Baru di Pulau Pinang, Kangar di Perlis dan Teluk Intan di Perak.

Di Raub sahaja, 4 mangsa kehilangan RM3,000.

Beliau berkata, salah seorang mangsa itu membuat laporan polis memaklumkan ternampak iklan merekrut anggota polis itu di WeChat pada 6 Jun lalu, di mana suspek mendakwa dirinya “pegawai kanan” di Bukit Aman yang boleh membantu mangsa memohon menjadi sarjan dengan kos RM1,000.

“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa dan memasukkan RM1,000 ke akaun bank ‘pegawai kanan’ itu. Beliau membuat laporan di Balai Polis Daerah Rabu selepas lebih sebulan tidak mendapat sebarang berita,” katanya pada sidang media semalam.

Zahari berkata, siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub mendapati wang dimasukkan ke sebuah akaun bank milik seorang wanita yang bersubahat dengan suspek.

Beliau berkata, wanita itu akan menerima komisen RM50 setiap kali wang dimasukkan ke akaunnya.

Katanya, lelaki itu didakwa di Mahkamah Majistret pada 29 September lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan majistret membenarkan dia diikat jamin RM16,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.